Fadhlina mahu isu anemia dan bantut murid diberi perhatian

Sumber: Astro Awani
Fadhlina mahu isu anemia dan bantut murid diberi perhatian
Gambar: Astro Awani

BATU KAWAN: Aspek pemakanan murid di semua peringkat persekolahan perlu diberi perhatian berikutan masalah anemia dan bantut dalam kalangan kanak-kanak serta remaja, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek pada Rabu.

Beliau berkata, walaupun pelbagai program sokongan pemakanan dilaksanakan di peringkat prasekolah dan sekolah rendah, masalah kesihatan berkaitan pemakanan turut dihadapi murid sekolah menengah. Fadhlina berucap pada majlis perasmian Gala Hari Susu Sekolah Sedunia 2026 di sini.

“Isu kesihatan yang lebih membimbangkan ialah anemia dan bantut yang masih berlaku dalam kalangan anak-anak kita. Sebab itu, tumpuan pemakanan ketika ini diberikan kepada murid prasekolah.

“Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan program sokongan pemakanan di sekolah rendah masih diperlukan, namun pada masa sama, murid sekolah menengah turut berdepan masalah serupa,” katanya.

Fadhlina berkata, usaha memastikan murid memperoleh pemakanan mencukupi juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya sasaran mengakhiri kelaparan. Beliau turut menekankan peranan keluarga dalam merancang pemakanan sihat dan berharap kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan (KPM), syarikat tenusu Farm Fresh serta rakan strategik lain terus diperkukuh.

Sementara itu, Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh Azmi Zainal berkata Program Susu Sekolah (PSS) di bawah RMT KPM bertujuan menangani kekurangan zat makanan dalam kalangan murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Kontrak pembekalan PSS bagi tempoh 2025 hingga 2030 meliputi hampir 80 juta pek susu suhu ultra tinggi (UHT) tanpa perisa setahun untuk murid penerima RMT sepanjang hari persekolahan, katanya.

Azmi berkata penghantaran susu ke sekolah, termasuk di kawasan pedalaman yang jauh dan sukar diakses, memerlukan usaha besar. Beliau turut menghargai peranan usahawan penghantaran yang menyalurkan bekalan kepada sekolah terbabit.

Pada majlis itu, Farm Fresh menyerahkan cek cura RM500,000 untuk membiayai dermasiswa kepada 500 pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga B40. Setiap pelajar menerima RM1,000 bagi membantu mereka melanjutkan pengajian.