Ismail tiba di Istana Seri Menanti bagi istiadat angkat sumpah EXCO

KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tiba di Istana Seri Menanti di sini, hari ini, bagi menghadiri istiadat mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Kenderaan yang membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu memasuki pekarangan istana pada 10.11 pagi. Beberapa kenderaan yang membawa ADUN Negeri Sembilan turut dilihat tiba di kawasan istana mulai 10 pagi.
Istiadat itu dijangka bermula pada 10.45 pagi dan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Semalam, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) di Istana Hinggap, Seremban. Sesi menghadap itu difahamkan bertujuan meleraikan kemelut pentadbiran negeri yang berlarutan hampir empat bulan.
Pemimpin yang menghadap baginda ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki; serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.