Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, berada di Istana Hinggap di sini untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ketika timbul spekulasi mengenai kedudukannya sebagai menteri besar.
Kereta yang membawa Ismail tiba di istana pada 1.18 tengah hari, manakala Tuanku Muhriz tiba kira-kira 1.30 tengah hari.
Utusan Malaysia, yang memetik sumber, melaporkan semalam bahawa Negeri Sembilan mungkin mempunyai menteri besar baharu selepas 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hilang keyakinan terhadap Ismail.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, dan timbalannya, Mohamad Hasan, dijangka menghadap Tuanku Muhriz kira-kira jam 3 petang.
Pada 20 November, dilaporkan bahawa Ismail akan kekal sebagai menteri besar atas arahan Tuanku Muhriz susulan kontroversi berhubung dakwaan peletakan jawatannya. Ismail berkata Tuanku Muhriz mengarahkannya meneruskan tugas bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri.
Sehari kemudian, ADUN BN dan PN mengadakan mesyuarat khas untuk menyelesaikan isu berkaitan jawatan Ismail. Mereka bersetuju mematuhi arahan kepimpinan gabungan masing-masing bagi menangani krisis politik di negeri itu.
Krisis itu tercetus selepas Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, mengumumkan Ismail telah meletakkan jawatan. Zahid kemudian berkata Ismail berbuat demikian secara sukarela dan tidak diarahkan berbuat demikian.
Bagaimanapun, Ismail berkata beliau tidak menyerahkan atau bersetuju dengan penyerahan surat peletakan jawatannya kepada Tuanku Muhriz.