Iran dakwa Israel mahu heret AS ke perang baharu

TEHERAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, pada Rabu menuduh Israel cuba mengheret Amerika Syarikat (AS) ke dalam perang baharu selepas seorang menteri Israel mendakwa Teheran sedang membangunkan senjata kimia.
Dalam kenyataan di X, Araghchi berkata dakwaan Iran membangunkan dan menyembunyikan senjata berbahaya di kilang farmaseutikal itu bertujuan memperdaya AS supaya berperang sekali lagi bagi pihak Israel.
Israel sejak bertahun-tahun menuduh Iran cuba mendapatkan senjata nuklear. Namun, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pada Selasa mendakwa Teheran sedang membangunkan senjata kimia dan berikrar menghalang republik Islam itu daripada memilikinya.
Katz berkata Iran sedang membangunkan senjata kimia, tetapi belum mencapai keupayaan untuk menyerang Israel menggunakan senjata berkenaan. Beliau berkata perkara itu tidak boleh dibiarkan berterusan dalam kenyataan yang diterbitkan parti Likud di Telegram.
Sementara itu, Avigdor Liberman, sekutu utama tokoh yang berpotensi menjadi perdana menteri Israel, Gadi Eisenkot, berkata tiada keperluan untuk menyerang Iran dengan segera. Beliau turut mempersoalkan niat kerajaan sementara Israel.
Liberman mendakwa Perdana Menteri sementara Benjamin Netanyahu dan Katz didorong oleh “ketamakan kuasa” sehingga “hilang pertimbangan”. Beliau berkata dakwaan mengenai senjata kimia Iran adalah serius, namun dari sudut perisikan dan operasi, tiada alasan untuk Israel melancarkan serangan sendiri dalam masa terdekat.
Iran menolak dakwaan Israel itu sebagai propaganda. Minggu lalu, Araghchi menyifatkan dakwaan bahawa Iran merancang menggunakan senjata kimia sebagai “karut”.