Internet sekolah luar bandar dan penyeludupan dadah TUDM tumpuan Dewan Rakyat

Sumber: Harian Metro
Internet sekolah luar bandar dan penyeludupan dadah TUDM tumpuan Dewan Rakyat
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Capaian Internet di sekolah luar bandar, dakwaan sindiket dadah menggunakan kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan isu keselamatan kanak-kanak antara perkara yang dijangka dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang rasmi Parlimen, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) akan meminta Menteri Komunikasi menjelaskan dasar bagi memastikan sekolah luar bandar mendapat capaian Internet yang memenuhi Piawaian Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

Beliau turut mahu mengetahui pembahagian tanggungjawab antara Kementerian Komunikasi dengan Kementerian Pendidikan, selain sama ada audit MSQoS akan diperluas secara berkala kepada semua sekolah.

Dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula akan meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan mengenai sindiket penyeludupan dadah yang mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa. Beliau juga meminta penjelasan mengenai langkah memperketat kawalan keselamatan aset ketenteraan.

Pada sesi soal jawab lisan, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) dijadual meminta Menteri Komunikasi menyatakan jumlah kes buli siber, eksploitasi seksual dan kandungan berbahaya terhadap kanak-kanak. Beliau juga mahu mengetahui keberkesanan kerangka pelesenan platform media sosial yang berkuat kuasa sejak 1 Jan 2025.

Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) pula akan bertanya mengenai rancangan memperluas had umur media sosial kepada platform permainan dalam talian, terutama yang mempunyai ramai pengguna kanak-kanak dan remaja.

Sementara itu, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) meminta Menteri Kewangan menjelaskan strategi kerajaan memastikan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal kompetitif sekurang-kurangnya pada paras enam peratus, ketika asetnya mencecah kira-kira RM1.4 trilion.

Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) pula mahu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjelaskan kesan konflik Amerika Syarikat-Iran dan gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz terhadap kos sara hidup, termasuk harga minyak, pengangkutan, makanan serta barangan keperluan.

Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di peringkat jawatankuasa yang memasuki hari terakhir.