Bursa Indonesia sekat lima syarikat kerana percanggahan data saham apungan bebas

JAKARTA: Bursa Saham Indonesia pada Jumaat mengenakan sekatan terhadap lima syarikat tersenarai kerana gagal melaporkan data pemilikan saham apungan bebas dengan tepat dan tidak membetulkan percanggahan dalam tempoh yang ditetapkan.
Bursa itu tidak menyatakan bentuk sekatan yang dikenakan. Salah satu syarikat terbabit ialah PT MNC Tourism Indonesia, yang sebelum ini dikenali sebagai MNC Land. Syarikat pelancongan itu berada di belakang projek pelancongan Lido yang mempunyai hubungan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
PT MNC Tourism Indonesia tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.
Menurut bursa, pihaknya mengesan percanggahan dalam pengiraan dan pelaporan saham apungan bebas oleh beberapa syarikat tersenarai. Syarikat berkenaan kemudian diarahkan mengesahkan pendedahan maklumat masing-masing dan mengemukakan pemfailan yang telah dibetulkan sebelum tarikh akhir ditetapkan.
Sekatan itu menyusuli pembaharuan lebih luas yang dilaksanakan pihak berkuasa Indonesia selepas penyedia indeks global MSCI memberi amaran bahawa negara dengan ekonomi bernilai AS$1.4 trilion itu berisiko diturunkan kepada status “standalone”.
Pihak berkuasa Indonesia berusaha menangani kebimbangan MSCI sepanjang tahun ini dengan memperketat keperluan pendedahan dan menggariskan rancangan untuk menaikkan paras minimum saham apungan bebas.
Saham apungan bebas merujuk kepada saham yang tersedia untuk dagangan awam dan tidak dipegang pemegang teras besar, seperti pegawai syarikat, pelabur jangka panjang atau badan kerajaan.