Imej Hera dedah kawah hampir sebesar asteroid Dimorphos

PARIS: Imej terbaharu asteroid Dimorphos yang dirakam kapal angkasa Hera milik Agensi Angkasa Eropah (ESA) di lokasi pelanggaran menunjukkan kawah gergasi hampir sebesar asteroid itu sendiri. Kawah tersebut terbentuk selepas Dimorphos dirempuh kapal angkasa NASA pada 2022 dalam ujian pertahanan Bumi.
Hera kini menjalankan pemerhatian terperinci bagi menilai kesan jangka panjang hentaman itu. Misi DART tersebut menguji sama ada manusia mampu mengubah laluan objek angkasa yang berpotensi melanggar Bumi. Dimorphos sendiri tidak mengancam planet ini.
Dalam ujian berkenaan, kapal angkasa NASA merempuh Dimorphos pada kelajuan kira-kira 22,000 kilometer sejam. Saintis misi Hera, Sabina Raducan, berkata kawah yang terhasil hampir menyamai lebar asteroid itu, yang berukuran sekitar 150 meter.
“Kawah itu hampir sebesar asteroid itu sendiri. Ia sesuatu yang benar-benar menakjubkan,” katanya.
Hentaman berkenaan mengubah orbit Dimorphos mengelilingi Didymos, asteroid yang lebih besar. Sebelum pelanggaran, Dimorphos mengambil masa 11 jam 55 minit untuk melengkapkan satu orbit. Tempoh itu berkurangan kira-kira 33 minit selepas impak.
Pemerhatian Hera turut menunjukkan bentuk dan pergerakan Dimorphos berubah dengan ketara. Asteroid itu sebelum ini bergerak secara stabil, namun kini berputar secara tidak menentu ketika mengelilingi Didymos.
Selain mengkaji Dimorphos, Hera merakam imej terperinci Didymos yang memperlihatkan permukaannya dipenuhi bongkah batu besar. Sebahagian bongkah itu hampir sebesar kereta dan bas.
Data yang dikumpulkan dalam misi itu akan membantu saintis menentukan kaedah terbaik untuk memesongkan laluan asteroid jika ancaman sebenar terhadap Bumi dikenal pasti pada masa hadapan. Penemuan berkenaan juga dijangka memperdalam pemahaman tentang tindak balas asteroid terhadap hentaman dan meningkatkan kesiapsiagaan global menghadapi ancaman objek angkasa.