Anwar nafi PKR tunduk kepada tekanan GPS

Sumber: Harian Metro
Anwar nafi PKR tunduk kepada tekanan GPS
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tunduk kepada ancaman Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, 12 Disember ini. Presiden PKR yang juga Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat sebagai usaha menjalin kerjasama dengan GPS.

“Ia kerjasama dan bukan tunduk,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030 di sini hari ini.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, sebelum ini mendakwa keputusan PKR itu dibuat kerana Anwar tunduk kepada tekanan GPS, bagi memastikan sokongan berterusan gabungan berkenaan kepada kerajaan Persekutuan. Beliau turut mendakwa sokongan GPS diperlukan untuk memastikan Anwar kekal sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal, terutama sekiranya Barisan Nasional (BN) menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Ahad lalu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Openg, mempersoalkan kewajaran parti yang mendapat manfaat daripada sokongan GPS dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan untuk mencabar gabungan itu pada PRN Sarawak ke-13. Beliau dipetik berkata kerajaan Persekutuan mungkin tidak dapat dibentuk tanpa sokongan GPS, walaupun demokrasi membenarkan parti berkenaan bertanding pada pilihan raya negeri itu.

DAP kini satu-satunya parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada PRN Sarawak, selepas PKR dan AMANAH memutuskan untuk tidak menyertainya. DAP akan bertanding di 12 kerusi. BN, Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU juga tidak bertanding.

GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), akan meletakkan calon di semua 82 kerusi. Gabungan itu mengumumkan senarai calonnya semalam.

Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pula meletakkan 26 calon, manakala Parti Bumi Kenyalang (PBK) mempertaruhkan dua calon. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 12 Disember, dengan penamaan calon Sabtu ini dan pengundian awal pada 8 Disember.