Hutang baharu negara turun kepada RM70 bilion setahun – Anwar

Sumber: Sinar Harian

KUALA TERENGGANU – Kerajaan berjaya mengurangkan hutang baharu negara daripada sekitar RM100 bilion setahun kepada RM70 bilion menerusi pengurusan kewangan yang cermat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Terengganu di sini pada Khamis.

Anwar berkata dakwaan sesetengah pihak bahawa hutang negara semakin meningkat ketika pentadbirannya adalah tidak tepat. Menurutnya, hutang baharu tahunan ketika beliau mula mengambil alih pentadbiran negara berada pada sekitar RM100 bilion, sebelum berkurang secara berperingkat kepada RM90 bilion, RM80 bilion dan kini RM70 bilion.

“Orang kata, ‘Oh, masa Anwar sekarang hutang tinggi’. Tak betul. Hutang baru kita kurang,” katanya. Beliau menjelaskan jumlah keseluruhan hutang yang masih kelihatan besar turut melibatkan hutang lama yang perlu dibayar bersama faedah.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan masih menanggung bayaran hutang lama beberapa agensi dan syarikat berkaitan kerajaan bagi mengelakkan negara menjadi muflis. Beban itu termasuk kerugian 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM50 bilion, selain hutang Tabung Haji dan Felda yang masing-masing berjumlah RM10 bilion.

Beliau berkata hutang lama Felda memerlukan bayaran hampir RM1 bilion, iaitu RM980 juta, setiap tahun. Katanya, bayaran perlu diteruskan bagi mengelakkan Felda daripada gulung tikar, manakala Tabung Haji perlu ditampung supaya wang jemaah tidak terjejas.

“Hutang 1MDB sampai sekarang saya kena bayar. Hutang Tabung Haji, hutang Felda kita kena bayar,” katanya, sambil menyoal kesan sekiranya bayaran kepada Felda dan Tabung Haji tidak dibuat.

Dalam pada itu, Anwar berkata penjimatan dan pengurusan fiskal yang baik membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak peruntukan untuk membantu peniaga dan usahawan kecil menerusi inisiatif Usahawan Bangkit.

Pada majlis sama, beliau mengumumkan kelulusan peruntukan segera RM500,000 bagi membantu semua Usahawan Bangkit di Terengganu. Anwar turut memaklumkan peruntukan tambahan akan diteruskan pada tahun hadapan menerusi belanjawan negara.