Hujan musim sejuk berisiko banjiri 1,000 lokasi perlindungan di Gaza

GAZA: Pihak berkuasa tempatan memberi amaran hujan musim sejuk yang dijangka melanda dalam beberapa hari lagi boleh menenggelamkan kira-kira 1,000 kem dan lokasi perlindungan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Gaza.
Kesatuan Perbandaran Semenanjung Gaza berkata kerosakan sistem saliran dan pembetungan, selain kekurangan pam air, menyukarkan usaha mengalirkan air banjir dari kawasan terjejas. Dalam mesyuarat di Bandar Gaza pada Rabu, kesatuan itu mengenal pasti al-Mughraqa dan al-Zahra di tengah Gaza sebagai antara kawasan berisiko tinggi, susulan kemungkinan paras air di Wadi Gaza meningkat secara mendadak.
Kesatuan berkenaan memaklumkan sekitar 200,000 khemah perlu diganti. Lebih 2,000 bangunan yang rosak pula berisiko runtuh. Pejabat Media Kerajaan Gaza sebelum ini turut memberi amaran mengenai kemungkinan ribut baharu dalam masa terdekat.
Musim sejuk ini merupakan yang keempat dihadapi penduduk Gaza sejak perang meletus pada Oktober 2023. Menurut laporan Al Jazeera, ribut pada awal November lalu menenggelamkan kira-kira 70,000 khemah dan menjejaskan lebih 350,000 penduduk yang dipindahkan.
Ramai keluarga mengambil langkah sendiri untuk melindungi tempat perlindungan mereka daripada hujan. Ada yang menimbunkan pasir di pintu masuk khemah, sementara yang lain menyelamatkan barangan penting apabila air mula naik. Seorang ibu yang dipindahkan akibat perang menggunakan kain kapan yang dibelinya untuk anaknya bagi menampal khemah, selepas gagal mendapatkan kanvas kalis air.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Eropah menggesa Israel membuka semula semua pintu masuk ke Gaza supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan lebih lancar. Jurucakapnya, Eva Hrncirova, berkata khemah dan peralatan untuk memasangnya masih berada di atas trak di luar Gaza kerana belum dibenarkan masuk.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini memaklumkan lebih 150,000 khemah masih menunggu kelulusan untuk dibawa masuk ke wilayah itu. Pihak berkuasa tempatan kini menggesa bantuan segera berupa pam air, penjana elektrik, bekalan bahan api, rumah mudah alih dan bahan binaan bagi menghadapi cuaca buruk yang dijangka tiba tidak lama lagi.