Huffaz berpotensi pacu pembangunan negara menerusi ilmu pelbagai bidang

Sumber: Sinar Harian

SHAH ALAM – Golongan huffaz berpotensi menjadi penggerak pembangunan negara jika menguasai pelbagai bidang ilmu, termasuk pendidikan, teknologi, ekonomi dan bidang profesional, tanpa mengetepikan identiti serta penguasaan al-Quran.

Felo Madani 2026, Muhammad Nizamuddin Azmi, berkata peranan huffaz dalam masyarakat tidak seharusnya terbatas kepada menghafaz dan memelihara ayat suci al-Quran. Sebaliknya, mereka juga boleh berperanan sebagai penyebar ilmu, pendidik dan pemimpin masyarakat.

Menurutnya, penguasaan al-Quran yang disertai kefahaman, penghayatan dan amalan terhadap nilai-nilainya mampu menjadi asas pembentukan masyarakat yang menjunjung keadilan, amanah, ihsan serta tanggungjawab sosial.

Beliau berkata, kepentingan memperkasa golongan itu turut terserlah menerusi penganjuran Himpunan Huffaz pada tahun ini, kesinambungan program sama yang berlangsung di Bagan Datuk tahun lalu dengan penyertaan sekitar 26,000 huffaz.

Katanya, himpunan berskala besar itu bukan sekadar platform penyatuan ummah, malah berperanan mengeratkan ukhuwah Islamiah, memartabatkan ilmu al-Quran dan memperkukuh gerakan dakwah berteraskan kebijaksanaan serta hikmah.

Pertemuan ribuan huffaz itu, tambahnya, wajar dilihat sebagai gambaran potensi institusi tahfiz dalam membangunkan modal insan. Golongan berkenaan bukan sahaja memelihara kesucian al-Quran, malah berupaya menyumbang kepada pembentukan masyarakat berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab terhadap pembangunan negara.

Muhammad Nizamuddin berkata, sejarah kegemilangan tamadun Islam menunjukkan kemajuan peradaban tidak terbatas kepada ilmu agama semata-mata, sebaliknya turut berkembang melalui penerokaan pelbagai disiplin. Tokoh seperti Ibn Sina, al-Ghazali dan al-Khawarizmi mencerminkan keluasan tradisi intelektual Islam dalam bidang perubatan, falsafah, matematik, astronomi dan pemikiran.

Dalam usaha membangunkan generasi huffaz berkualiti, katanya, pengiktirafan serta pemerkasaan institusi tahfiz perlu diberi perhatian menyeluruh. Pelaksanaan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM), misalnya, merupakan langkah bagi memastikan institusi tahfiz mempunyai standard kualiti dan tadbir urus yang lebih tersusun.

Beliau turut menyebut pendekatan Pra-Tahfiz di Tabika KEMAS bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang memperlihatkan kepentingan memupuk kecintaan terhadap al-Quran sejak peringkat awal kanak-kanak.

Selain itu, peluasan peluang pendidikan tinggi menerusi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) melalui pengembangan TVET Tahfiz membuka ruang kepada huffaz mengembangkan potensi dalam bidang teknikal dan profesional tanpa mengetepikan identiti serta penguasaan al-Quran.

Justeru, Muhammad Nizamuddin berkata usaha memperkasa huffaz memerlukan perancangan menyeluruh dan berterusan, termasuk penyelarasan kurikulum, pengiktirafan kelayakan akademik, peningkatan kualiti tenaga pengajar serta peluasan kerjasama antara institusi tahfiz, universiti dan pihak industri.