Hubungan dengan Myanmar penting urus kepulangan 200,000 rakyatnya

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan isu membabitkan kira-kira 200,000 rakyat negara itu yang berada di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, hubungan diplomatik itu penting untuk menangani sebahagian besar masalah berkenaan, termasuk urusan membawa rakyat Myanmar pulang ke negara asal. Setakat ini, kira-kira 10,400 orang sudah dihantar pulang hasil rundingan antara Malaysia dengan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing.
“Ribuan lagi sedang diatur untuk dibawa pulang menggunakan kapal perang negara berkenaan yang berada di Lumut, Perak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030, di sini, hari ini.
Anwar berkata, Malaysia turut berunding dengan Presiden Myanmar bagi mendapatkan jaminan keselamatan untuk rakyat negara itu yang dihantar pulang, kecuali mereka yang terbabit dalam kes jenayah. Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada keselamatan mereka boleh dipantau dari jauh selepas jaminan diberikan.
Katanya, Malaysia mengambil kira kepentingan keselamatan negara dan rakyat dalam setiap keputusan berkaitan hubungan diplomatik dengan negara luar. Isu itu, katanya, tidak boleh diselesaikan sepenuhnya oleh badan antarabangsa atau negara asing, sebaliknya Malaysia perlu mencari jalan sendiri selepas berpuluh-puluh tahun berdepan masalah berkenaan.
Anwar berkata, hubungan baik dengan Kerajaan Myanmar diperlukan untuk menyelesaikan sebahagian besar isu membabitkan rakyatnya di Malaysia. Jika mereka tidak dihantar pulang, kerajaan perlu menanggung perbelanjaan tinggi dan berdepan peningkatan kemarahan rakyat.
Beliau berkata keadaan itu juga menimbulkan isu keselamatan, kerana sebahagian pelarian tidak mempunyai pekerjaan dan boleh menyumbang kepada peningkatan isu jenayah.