Ismail Lasim menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap petang ini

Sumber: Harian Metro
Ismail Lasim menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap petang ini
Gambar: Harian Metro

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, di Istana Hinggap di sini pada jam 2 petang ini.

Ismail, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jusseh, difahamkan akan menawarkan diri untuk meletak jawatan selepas dilaporkan gagal mengemukakan senarai calon bagi mengisi kekosongan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu.

Sumber berkata, Ismail terpaksa mempertimbangkan untuk berundur selepas tidak mendapat sokongan 24 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Keadaan itu turut dikatakan menyebabkan beliau kesuntukan masa untuk membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.

Selepas menerima menghadap Ismail, Tuanku Muhriz dijadualkan menerima beberapa pemimpin kanan UMNO, termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Mereka dijangka memaklumkan kepada baginda mengenai perkembangan politik negeri berikutan tindakan 24 ADUN memberikan mandat kepada kepimpinan parti untuk menentukan calon yang wajar memegang jawatan Menteri Besar.

Keputusan sama ada Ismail akan kekal atau digantikan sebagai Menteri Besar dijangka diketahui dalam masa terdekat. Bagaimanapun, setakat ini belum dapat disahkan sama ada beliau akan turut hadir bersama pemimpin BN dalam sesi menghadap Tuanku Muhriz.

Krisis istana dan pentadbiran Negeri Sembilan kini menghampiri empat bulan, selepas tercetus sebaik Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos lalu. Krisis itu bermula apabila Ismail menandatangani proklamasi mengenai status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar pada 3 Ogos, sehari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan.