Cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan perlu diteliti rapi

KUALA LUMPUR: Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan perlu diteliti dengan teliti bagi memastikan ia tidak menjejaskan kawalan perbelanjaan awam atau mewujudkan komitmen kewangan tambahan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapha Sakmud.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Mustapha berkata cadangan itu bukan sekadar melibatkan urusan pelantikan, malah merangkumi kenaikan pangkat, pertukaran, hal disiplin dan pengurusan tenaga kerja sektor kesihatan.
Beliau berkata kerajaan mengakui sektor kesihatan mempunyai keperluan tenaga kerja yang khusus dan dinamik. Sehubungan itu, kerajaan sedang mempertimbangkan fleksibiliti lebih besar dalam penempatan, pengambilan dan pembangunan kerjaya pengamal kesihatan.
Bagaimanapun, katanya, cadangan suruhanjaya itu perlu dinilai berdasarkan dasar kawalan perbelanjaan awam seperti yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan PB3.1: Garis Panduan Kawalan Perbelanjaan Awam (Dikemas Kini 2024).
Penubuhan jawatan dan entiti baharu tertakluk pada kawalan ketat bagi memastikan sumber sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya serta komitmen kewangan tambahan dapat dielakkan, kata Mustapha.
Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai cadangan suruhanjaya itu dan sama ada badan berkenaan akan mempunyai autonomi untuk menentukan saraan pekerja kesihatan secara berasingan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Mustapha berkata JPA masih belum menerima cadangan terperinci daripada Kementerian Kesihatan. Kementerian itu perlu terlebih dahulu menentukan, dengan berunding bersama JPA dan Kementerian Kewangan, sama ada suruhanjaya berkenaan akan menjadi sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan atau beroperasi sebagai badan berkanun.
Penentuan itu akan menjadi asas kepada keputusan lanjut mengenai pengurusan jawatan, perkhidmatan dan saraan, termasuk peruntukan emolumen. Kementerian juga perlu memperincikan fungsi serta tanggungjawab suruhanjaya bagi mengelakkan pertindihan dengan kementerian dan agensi sedia ada.
Mengenai autonomi kewangan, Mustapha berkata kuasa mengurus pelantikan dan hal perkhidmatan tidak dengan sendirinya memberikan kuasa menentukan gaji serta emolumen. Kedua-dua perkara itu berbeza dan tertakluk pada kerangka tadbir urus, dasar kewangan serta peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa.
Beliau berkata sebarang autonomi yang dicadangkan, termasuk kuasa berkaitan tenaga kerja dan emolumen, perlu diteliti secara berasingan bersama agensi pusat, khususnya JPA dan Kementerian Kewangan, sebelum dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan.