Enam hari bergelar suami isteri, Nur Nasywani kehilangan suami

Sumber: Sinar Harian

SHAH ALAM – Nur Nasywani Mohd Romzi, 25, hanya sempat menikmati kehidupan berumah tangga selama enam hari sebelum suaminya, Muhammad Firdaus Norasmahisham, 28, meninggal dunia dalam kemalangan pada awal pagi 15 November lalu.

Kehilangan itu berlaku ketika pasangan berkenaan baru memulakan kehidupan bersama dan masih mempunyai banyak impian yang belum sempat direalisasikan. Bagi Nur Nasywani, perjalanan mereka ke Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi kenangan terakhir bersama suaminya.

Nur Nasywani yang bekerja sebagai pembantu klinik berkata, mereka bertolak dari rumah di Taman Medan pada 14 November dan tiba di Port Dickson kira-kira jam 10 malam. Suaminya kemudian mengajaknya ke tapak acara bersama rakan, namun dia menolak kerana keletihan dan mahu berehat di inap desa.

Kira-kira tengah malam, Muhammad Firdaus keluar untuk mencari alat ganti motosikal sebelum pulang ke inap desa. Sekitar jam 3 pagi, dia keluar sekali lagi bersama anak kepada rakannya untuk mencari makanan.

“Tak lama kemudian, saya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan bahawa suami terbabit kemalangan,” katanya.

Nur Nasywani segera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan itu. Setibanya di sana, dia cuba memanggil dan menyedarkan suaminya, namun lelaki itu tidak memberikan sebarang respons.

Katanya, antara detik paling menyayat hati ialah apabila dia mendengar orang ramai di lokasi membantu suaminya mengucapkan kalimah syahadah. Dia masih berharap Muhammad Firdaus akan membuka mata dan bangun, tetapi ambulans yang tiba mengesahkan suaminya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika itu. Beberapa jam sebelumnya, lelaki yang baru enam hari menjadi suami saya masih ada di sisi, memanggil saya ‘sayang’. Kini, dia pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya,” katanya.

Wanita berasal dari Tumpat, Kelantan itu berkata, dia tidak menyangka perjalanan berkenaan menjadi kenangan terakhir mereka. Banyak perancangan dan impian pasangan itu belum sempat dilaksanakan.

Nur Nasywani berkata, mereka berkawan selama tiga bulan sebelum menjalinkan hubungan cinta dan bertunang pada 23 Mac lalu. Hubungan itu mendapat restu keluarga kedua-dua pihak, sebelum mereka membuat keputusan untuk berkahwin.

Pasangan itu bernikah pada 9 November lalu. Menurut Nur Nasywani, tarikh tersebut dipilih sempena ulang tahun kelahiran arwah suaminya supaya hari berkenaan menjadi lebih istimewa buat mereka.

Dia berkata, hari perkahwinan itu merupakan detik yang dinantikannya dan membuatkannya berasa seperti wanita paling bahagia. Majlis kenduri mereka turut dihadiri saudara-mara dan rakan, dengan suasana penuh kegembiraan, senyuman serta doa.

“Tak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa tarikh yang sepatutnya menjadi detik paling bahagia dalam hidup kami akhirnya menjadi kenangan yang akan saya rindui sepanjang hayat,” katanya.