Hanya 11 peratus bekas banduan kembali ke penjara dalam tiga tahun

Sumber: Harian Metro
Hanya 11 peratus bekas banduan kembali ke penjara dalam tiga tahun
Gambar: Harian Metro

PUTRAJAYA: Hanya 11 peratus bekas banduan di Malaysia kembali ke penjara dalam tempoh tiga tahun selepas dibebaskan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kadar pengulangan jenayah atau residivisme itu mencerminkan keberkesanan program pemulihan Jabatan Penjara dan merupakan pencapaian membanggakan berbanding beberapa negara lain yang merekodkan kadar sehingga 23 hingga 25 peratus.

Menurutnya, Malaysia mengukur residivisme berdasarkan tempoh tiga tahun selepas seseorang dibebaskan, manakala Singapura menggunakan tempoh dua tahun. Jika kadar itu diukur dalam tempoh dua tahun, Malaysia sudah berada pada satu digit, katanya.

“Bagaimanapun, bukan itu yang kita maksudkan. Tumpuan kita adalah bagaimana mengekalkan keberkesanan modul pemulihan yang menyasarkan tiga aspek iaitu fizikal, spiritual dan mental,” katanya.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini. Beliau berkata Jabatan Penjara perlu terus menambah baik modul pemulihan bagi mengurangkan kadar residivisme sehingga satu digit.

Antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah stigma dan penolakan masyarakat terhadap bekas banduan selepas mereka dibebaskan. Bekas banduan yang pernah terbabit dalam kesalahan dadah, misalnya, berdepan kesukaran mendapatkan penerimaan masyarakat, keadaan yang boleh mendorong mereka mengulangi kesalahan.

“Apabila mereka keluar, penerimaan masyarakat berbeza dan tidak bersedia menerima serta menyokong mereka. Keadaan di luar itu seolah-olah menjadi penjara kedua buat mereka. Itu antara faktor yang mendorong mereka kembali mengulangi kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat menghapuskan stigma dan prejudis terhadap bekas banduan yang sudah selesai menjalani hukuman, selain memberi mereka peluang membina kehidupan baharu.

Jabatan Penjara turut menyediakan 13 rumah perantaraan untuk membantu bekas banduan yang berdepan penolakan keluarga atau masyarakat selepas dibebaskan. Kemudahan itu menyediakan tempat tinggal sementara serta membolehkan mereka meneruskan pekerjaan dan kehidupan selepas keluar dari penjara.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata kira-kira 75 peratus penghuni penjara di negara ini terbabit dengan kesalahan berkaitan dadah, sekali gus menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh pendekatan pemulihan.