Pembantu Hannah Yeoh dipanggil SPRM bantu siasatan KLSCAH

Sumber: Astro Awani
Pembantu Hannah Yeoh dipanggil SPRM bantu siasatan KLSCAH
Gambar: Astro Awani

PUTRAJAYA: Seorang pembantu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berkaitan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Hannah mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook hari ini. Beliau berkata, tiga pegawai SPRM datang ke pejabatnya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam dan meminta pembantunya hadir ke SPRM pagi ini untuk membantu siasatan.

“ KLSCAH: Ya, saya boleh mengesahkan perkara itu. Tiga pegawai SPRM datang ke pejabat saya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam dan meminta pembantu saya hadir ke SPRM pagi ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada 14 Nov lepas, kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH untuk tempoh 99 tahun. Premium tanah ditetapkan pada kadar nominal RM1,000, jauh lebih rendah berbanding anggaran premium sebelum ini, kira-kira RM4.67 juta.

Hannah berkata keputusan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memelihara mercu tanda bersejarah Kuala Lumpur dan memastikan institusi bernilai warisan itu dapat terus berkhidmat kepada generasi akan datang.

Beliau turut berkata kadar premium nominal diluluskan susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memberikan pertimbangan khas terhadap pemeliharaan bangunan bersejarah itu. Komitmen tersebut dibuat selepas Anwar mengunjungi dewan berkenaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Feb lepas.