Pembantu Hannah dipanggil SPRM berhubung pajakan tanah KLSCAH

Sumber: Harian Metro
Pembantu Hannah dipanggil SPRM berhubung pajakan tanah KLSCAH
Gambar: Harian Metro

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, mengesahkan pembantunya diminta hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan tanah Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Hannah memaklumkan perkara itu menerusi perkongsian di akaun media sosialnya sebentar tadi. Menurutnya, tiga pegawai SPRM mengunjungi pejabatnya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam dan meminta pembantunya hadir ke SPRM.

Pada 14 November lalu, kerajaan dilaporkan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH untuk tempoh 99 tahun dengan premium nominal RM1,000, berbanding anggaran awal RM4.67 juta.

Dua hari kemudian, Hannah menjelaskan pengurangan premium itu mengambil kira perubahan kategori kegunaan tanah berkenaan daripada komersial kepada institusi. Ahli Parlimen Segambut itu berkata tanah tersebut dikhususkan bagi kegunaan institusi dan warisan, antara faktor yang dipertimbangkan ketika menilai rayuan KLSCAH untuk pengurangan premium.

Pada 14 September lalu, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan dilaporkan meluluskan penyerahan balik dan pemberi milikan semula tanah itu bagi kegunaan institusi. Keputusan berkenaan mencetuskan gesaan supaya proses penilaian tanah dan justifikasi pengurangan premium dijelaskan dengan lebih telus kepada masyarakat.

Bangunan KLSCAH diisytiharkan sebagai bangunan Warisan Kebangsaan pada 2007. Jabatan Warisan Negara pula memperuntukkan RM500,000 bagi kerja pemuliharaan bangunan itu pada tahun berikutnya.