Hannah sahkan pembantu dipanggil SPRM berhubung pajakan dewan

PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, mengesahkan pembantunya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung pembaharuan pajakan 99 tahun Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Dalam hantaran di Facebook, Yeoh berkata tiga pegawai SPRM hadir di pejabatnya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam. Mereka meminta pembantunya hadir ke SPRM pagi ini bagi membantu siasatan.
Sin Chew melaporkan malam tadi bahawa pembantu Yeoh dipanggil dan akan memberikan keterangan hari ini.
Pada 14 November, Yeoh mengumumkan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan KLSCAH selama 99 tahun dengan premium tanah nominal RM1,000. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding anggaran premium terdahulu yang hampir RM4.67 juta.
Keputusan itu mencetuskan kontroversi. Yeoh berkata KLSCAH secara sukarela menukar status tanah berkenaan kepada tanah institusi, yang bermakna ia tidak boleh digunakan untuk pembangunan besar pada masa hadapan.
Beliau turut menyatakan dewan berusia 103 tahun itu diwartakan sebagai bangunan warisan pada 2007 dan mencatat defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000.
Menurut Yeoh, keputusan pajakan dibuat oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara. Tujuh organisasi lain di Kuala Lumpur turut menerima premium nominal bagi pajakan 99 tahun yang serupa, termasuk Yayasan Tuanku Bainun, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia.