Haniff Khatri persoal siapa arah dedah dokumen pengampunan
KUALA LUMPUR – Peguam Mohamed Haniff Khatri menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab menyahklasifikasikan dokumen berkaitan pengampunan sepatutnya ditentukan selepas Kabinet bersetuju terhadap perkara itu. Beliau berkata perkara berkenaan wajar diputuskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan sebagai wakil Kabinet yang menganggotai Lembaga Pengampunan, selaras kedudukan jawatan berkenaan.
Menurut Haniff, kenyataan beberapa menteri dalam Kabinet menunjukkan isu berkenaan tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Justeru, timbul persoalan mengenai pihak yang menentukan klasifikasi dokumen berkenaan serta siapa yang membuat keputusan untuk mendedahkannya kepada umum. “Kalau kita lihat secara ringkas dari sudut undang-undang, pihak yang bertanggungjawab sepatutnya mengambil tindakan selepas perkara itu dibentangkan kepada Kabinet dan mendapat persetujuan Jemaah Menteri. “Jika Kabinet bersetuju, pihak yang sepatutnya menyahklasifikasikan dokumen itu ialah menteri yang berkaitan dengan isu pengampunan,” katanya dalam satu podcast pada Khamis.
Beliau turut menekankan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan dilihat mempunyai kaitan langsung dalam perkara itu kerana jawatan berkenaan merupakan salah satu keanggotaan dalam Lembaga Pengampunan. Namun, katanya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menunjukkan keputusan Kabinet berhubung perkara itu masih belum dimuktamadkan. Sehubungan itu, Haniff menegaskan jika Kabinet bersetuju dengan cadangan berkenaan, Menteri Wilayah Persekutuan berkemungkinan menjadi pihak yang bertanggungjawab melaksanakan proses nyahklasifikasi dan pendedahan dokumen.
Laporan turut menyebut dokumen tular yang didakwa minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-64 bertarikh 18 September 2026 didapati memaparkan perbezaan pandangan ahli lembaga berhubung status penahanan Najib. Antara haiya yang dikaitkan ialah Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, yang berpandangan Najib perlu meneruskan hukuman penjara tanpa diberikan tahanan rumah. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pengampunan bersyarat membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah tertakluk kepada denda RM50 juta. Najib mula menjalani baki hukumannya di kediamannya di Kuala Lumpur bermula 10 November.