Haneesya tidak terkilan tidak dijemput ke FFM35

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Haneesya tidak berasa terkilan kerana tidak dijemput menghadiri Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Istana Budaya, baru-baru ini, meskipun filem lakonannya, Malam Terlarang, turut tercalon pada acara itu.
Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 26, berkata dia tidak mengharapkan layanan istimewa kerana hanya memegang watak hantu tambahan dalam filem berkenaan. Hantaran mengenai dirinya yang tidak diundang ke FFM35 pula dibuat secara spontan selepas menyedari filem itu turut tercalon.
“Saya cuma tengok semua orang pergi, jadi saya baru tahu yang saya tidak dijemput. Itu sahaja. Saya tak terasa pun. Saya anggap diri ini sekadar watak hantu tambahan.
“Nak terasa tentang apa? Takkanlah nak berharap pergi FFM sedangkan saya cuma jadi hantu tambahan yang dialog pun sepatah dua. Tak perlulah berangan nak pergi FFM,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran dan Pratonton Mikro Drama Senjakala serta Romantik Skuter, di sini, semalam.
Pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu berkata, setiap watak mempunyai peranan dalam menghidupkan sesebuah karya, meskipun tidak banyak dialog atau hanya muncul sebentar di skrin. Pada masa sama, katanya, pelakon watak sampingan dan kameo juga wajar diberikan penghargaan menerusi jemputan ke acara berprestij seperti FFM.
“Tanpa watak-watak sampingan, sesebuah cerita itu tidak akan menjadi. Jadi, kalau dijemput, saya rasa tiada salahnya. Bukanlah semua pelakon tambahan yang sekadar lalu di belakang, itu tidak logik.
“Maksud saya, pelakon tambahan yang mempunyai watak atau pelakon kameo, lebih-lebih lagi untuk acara besar seperti itu. Kalau dijemput, apa salahnya? Mereka juga membantu menghidupkan cerita,” katanya.
Menurut Haneesya, jemputan sedemikian boleh membuatkan pelakon berkenaan berasa lebih dihargai. Bagaimanapun, dia berkata, mereka yang tidak dijemput perlu menyedari kedudukan masing-masing sebagai pelakon tambahan.
Mengulas kemungkinan namanya tidak disenaraikan dalam kredit Malam Terlarang, Haneesya berkata dia tidak terlalu mengambil kisah kerana memahami watak yang dibawanya hanyalah hantu. “Saya sedar saya cuma bawa watak hantu. Kalau ada rezeki dan mereka mahu letakkan nama saya, saya terima. Kalau tidak, nak buat macam mana. Orang pun tak tahu hantu itu sebenarnya saya,” katanya.
Terdahulu, Haneesya memuat naik hantaran di Threads mengenai dirinya yang terlupa pernah membintangi Malam Terlarang sebagai Pamakbul (Hantu Dewi Laut). Lakonannya dipuji netizen dan dikatakan layak menerima anugerah, namun dia tidak menerima undangan menghadiri FFM35.