Hadiah RM5,000 menanti pengunjung Grand Final Takraw Mekdi

KUALA LUMPUR: Pengunjung Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di Akademi Sepaktakraw Malaysia esok dan Ahad berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM5,000, selain menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan McDonald's Malaysia.
Pengarah Kanan Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia, Shamsidar Yahya berkata, pihaknya mahu menjadikan acara selama dua hari itu sebagai pengalaman yang dapat dinikmati seisi keluarga, di samping menyemarakkan sokongan terhadap sukan warisan negara. Grand Final itu turut menyaksikan 16 pasukan bersaing merebut kejuaraan.
Antara hadiah yang ditawarkan ialah telefon pintar Redmi, tablet Redmi, ketuhar gelombang mikro Toshiba, penggoreng udara Toshiba, jam digital, fon telinga Samsung, fon kepala Sony dan vakum Russell Taylors. Hadiah lain termasuk barangan eksklusif McDonald's seperti mug, tumbler, beg silang, pouch bag dan beg piknik, serta baucar tunai dan baucar makanan McDonald's.
Selain cabutan bertuah, pengunjung boleh mencuba permainan menimang bola sepak takraw dan sepak bulu ayam atau chapteh. Reruai foto turut disediakan untuk pengunjung mengabadikan kenangan. Mereka juga berpeluang menyertai sesi ramah mesra bersama atlet kebangsaan dan pelakon Zul Ariffin, yang menjayakan kempen Mekdi Superfans.
Shamsidar berkata, McDonald's Malaysia turut menyediakan hidangan percuma kepada pengunjung bagi memeriahkan acara. Beliau berkata pihaknya mahu orang ramai bukan sekadar hadir menyaksikan pertandingan, tetapi turut menikmati acara bersama keluarga dan rakan-rakan.
Penganjuran Klinik Takraw yang dijadualkan berlangsung esok pula menjadi sebahagian daripada usaha syarikat memperluas pendedahan sukan itu kepada generasi muda. Seramai 100 pelajar berpeluang mengenali sepak takraw dengan lebih dekat serta mempelajari asas permainan di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan.
Shamsidar berkata kejayaan klinik itu juga dapat dilihat apabila peserta pulang dengan minat untuk terus bermain sepak takraw. Beliau berharap pengalaman berkenaan dapat memupuk minat terhadap sukan itu, selain nilai disiplin, keyakinan diri, semangat berpasukan dan kegigihan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, usaha membangunkan potensi anak muda menerusi sukan melengkapkan inisiatif McDonald's Malaysia dalam pendidikan, pembangunan kemahiran dan peluang kerjaya melalui Akademi Vokasional McDonald's.