Gordon Ramsay bakal ketuai barisan pengacara baharu Top Gear
LONDON: Cef selebriti Britain, Gordon Ramsay, bakal mengetuai barisan pengacara baharu rancangan permotoran BBC, Top Gear, yang dijadual kembali bersiaran pada 2028 selepas tidak ditayangkan sejak 2022. BBC mengumumkan pelantikan itu pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.
Ramsay, 60, akan bergandingan dengan beberapa pengacara bersama, namun identiti mereka belum didedahkan. Penggambaran rancangan itu dijadual bermula pada 2027, setahun sebelum ia kembali ke kaca televisyen.
Ramsay berkata beliau mahu membawa semangat dan aspirasi baharu kepada program berkenaan, sambil mengekalkan formula asal yang penuh kejutan, menghiburkan serta disulami sedikit kekecohan.
Top Gear tidak bersiaran sejak Disember 2022, selepas bekas pengacara Andrew “Freddie” Flintoff mengalami kecederaan serius pada muka dan tulang rusuk. Kemalangan itu berlaku ketika kereta roda tiga tanpa bumbung yang dipandunya terbalik semasa penggambaran di litar ujian rancangan berkenaan.
BBC menghentikan penerbitan program itu susulan kejadian tersebut. Pada November 2023, penyiar berkenaan mengumumkan rancangan itu akan direhatkan sehingga tarikh yang belum ditetapkan.
Top Gear mula diperkenalkan pada 1977 sebelum kembali dengan format moden pada 2002. Program itu menjadi antara rancangan BBC yang paling berjaya di peringkat antarabangsa ketika dikendalikan Jeremy Clarkson, Richard Hammond dan James May.
Barisan pengacara terbaharu sebelum ini terdiri daripada Flintoff, Paddy McGuinness dan Chris Harris. - Bernama/Anadolu