Kesatuan guru desak insentif lebih menarik untuk penempatan luar bandar

Sumber: Free Malaysia Today
Kesatuan guru desak insentif lebih menarik untuk penempatan luar bandar
Gambar: Free Malaysia Today

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kerajaan menawarkan insentif dan kemudahan lebih menarik bagi menggalakkan guru berkhidmat di kawasan luar bandar, termasuk mengembalikan kadar Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berdasarkan peratusan gaji.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata insentif yang diberikan perlu setimpal dengan pengorbanan guru, khususnya mereka yang berjauhan daripada keluarga untuk tempoh lama dan menanggung kos tambahan untuk berpindah.

Menurutnya, pelaksanaan BIW ketika ini pada kadar tetap mengikut gred perkhidmatan menyebabkan penjawat awam kurang berminat menerima penempatan di kawasan luar bandar. Sebelum ini, kadar BIW ialah 10 peratus daripada gaji guru, katanya.

Fouzi berkata semakin ramai menolak penempatan berkenaan kerana kadar insentif semasa tidak berbaloi dengan kos yang perlu ditanggung. Beliau menggesa kerajaan mengembalikan kadar elaun wilayah yang lama.

Beliau turut mencadangkan supaya penduduk tempatan diutamakan untuk mengisi jawatan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan penjawat awam terpaksa tinggal berjauhan daripada keluarga.

Kemudahan dan insentif yang lebih baik juga perlu disediakan sebagai penghargaan terhadap pengorbanan mereka, terutama guru yang terpaksa menempuh perjalanan berbahaya untuk sampai ke tempat kerja, katanya. Kakitangan di kawasan luar bandar juga tidak seharusnya diketepikan daripada peluang kemajuan kerjaya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa doktor, guru dan penjawat awam lain menerima penempatan di kawasan luar bandar serta terpencil. Beliau berkata keutamaan peribadi tidak sepatutnya menyebabkan masyarakat setempat kehilangan akses kepada perkhidmatan penting.

Anwar berkata kerajaan bersedia menyesuaikan penempatan jika munasabah, namun akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi masyarakat di kawasan terpencil kekal sebagai keutamaan.