Gitaris Duran Duran Andy Taylor meninggal dunia akibat kanser prostat

Sumber: Harian Metro
Gitaris Duran Duran Andy Taylor meninggal dunia akibat kanser prostat
Gambar: Harian Metro

LOS ANGELES: Gitaris dan penulis lagu Duran Duran, Andy Taylor, meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat kanser prostat metastatik, Isnin lalu. Berita kematian pemuzik yang menerima pengiktirafan Rock and Roll Hall of Fame itu disahkan menerusi kenyataan bersama keluarganya dan bekas anggota kumpulan berkenaan, pada Rabu.

Taylor disahkan menghidap penyakit itu pada 2018. Sepanjang bersama Duran Duran, beliau turut menghasilkan beberapa lagu popular kumpulan itu, antaranya ‘Hungry Like the Wolf’, ‘Rio’ dan ‘Girls on Film’.

Isterinya, Tracy Wilson-Taylor, berkata Taylor bukan sahaja gitaris hebat pada pandangan dunia, malah suami yang baik, bapa penyayang serta datuk yang membanggakan keluarga. Anggota Duran Duran, Simon Le Bon, Nick Rhodes, John Taylor dan Roger Taylor pula menyifatkan beliau sebagai individu yang membawa gaya tersendiri kepada muzik kumpulan itu sejak awal penubuhannya.

Menurut mereka, Taylor menyertai kumpulan itu selepas tiba di Birmingham dari kawasan Timur Laut England dengan membawa gitar dan keyakinan tinggi terhadap potensi Duran Duran.

Dilahirkan pada 1961 di Tynemouth, Taylor dibesarkan di Cullercoats, Northumberland. Beliau mula belajar bermain gitar ketika berusia 11 tahun, sebelum berhenti sekolah untuk mengadakan siri jelajah di England dan Eropah bersama beberapa kumpulan muzik.

Taylor berpindah ke Birmingham dan menyertai Duran Duran pada 1980. Kumpulan itu menandatangani kontrak dengan EMI Records sebelum menerbitkan album sulung berjudul ‘Duran Duran’ pada 1981, yang mencatat kejayaan di United Kingdom (UK). Populariti mereka kemudian berkembang ke peringkat global menerusi album ‘Rio’ pada 1982.

Beliau seterusnya mengembangkan kerjaya muzik secara solo dan melancarkan album studio sulung, ‘Thunder’, pada 1987. Taylor meninggalkan empat anak hasil perkahwinannya dengan Wilson-Taylor.