KPWKM jalankan dua kajian perkahwinan kanak-kanak, siap awal tahun depan
KUALA LUMPUR, 27 Nov — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menjalankan dua kajian berkaitan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia yang dijangka selesai awal tahun depan.
Kajian pertama dilaksanakan dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia bagi menilai keberkesanan pelaksanaan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020-2025.
Kajian kedua pula dijalankan menerusi Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan tajuk “Kajian Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia: Faktor Risiko, Faktor Perlindungan dan Strategi Pencegahan”.
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, KPWKM berkata kedua-dua kajian itu bertujuan menilai pelaksanaan strategi oleh agensi berkaitan, mengenal pasti faktor risiko dan perlindungan serta meneliti jurang pelaksanaan dan langkah pencegahan yang perlu diperkukuh.
Dapatan kajian akan digunakan untuk menentukan tindakan susulan yang lebih terarah dan berasaskan bukti. Selepas kajian selesai, kementerian akan mengenal pasti jurang pelaksanaan, menetapkan keutamaan bagi tindakan susulan bersama agensi berkaitan serta menilai keperluan sumber secara khusus.
KPWKM menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bersedia menggubal undang-undang untuk melarang semua perkahwinan membabitkan kanak-kanak perempuan berusia bawah 18 tahun tanpa pengecualian.
Menurut kementerian itu, pendekatan berkenaan akan memastikan usaha mencegah perkahwinan kanak-kanak disokong langkah yang menangani keperluan pendidikan, perlindungan, kesejahteraan dan penyertaan kanak-kanak perempuan. Usaha itu juga selaras dengan tema Hari Kanak-Kanak Perempuan Antarabangsa 2026, iaitu “Tamatkan perkahwinan kanak-kanak dan labur dalam hak kanak-kanak perempuan!”
Sementara kedua-dua kajian dijalankan, usaha menangani perkahwinan kanak-kanak akan diteruskan menerusi Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan 2026-2030.
KPWKM berkata tumpuan kerajaan terhadap hak kanak-kanak perempuan merangkumi usaha memastikan akses dan kelangsungan pendidikan, akses kepada maklumat bersesuaian serta perkhidmatan kesihatan, dan perlindungan daripada keganasan serta eksploitasi.
Kerajaan turut memberi sokongan kepada keluarga yang berdepan kesukaran sosioekonomi. Menurut kementerian itu, bidang berkenaan penting untuk mengurangkan faktor yang boleh meningkatkan risiko perkahwinan kanak-kanak.
KPWKM turut memaklumkan pandangan dan pengalaman kanak-kanak perempuan akan diambil kira ketika merancang serta menambah baik langkah yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.