TNB perkasa vendor Bumiputera tembusi pasaran global
KUALA LUMPUR, 27 Nov — Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkasa vendor Bumiputera untuk mengembangkan keupayaan dan menembusi pasaran lebih besar, termasuk di luar negara, sekali gus mengukuhkan sektor tenaga negara menerusi pembangunan ekosistem pembekal tempatan.
Usaha itu melibatkan rangkaian vendor dan kontraktor yang membekalkan peralatan, membina infrastruktur, menyelenggara aset serta menyumbang kepakaran kepada sistem tenaga negara. TNB berkata tanggungjawab memastikan bekalan elektrik stabil, mencukupi dan mampu milik bukan digalasnya secara bersendirian.
Bagi TNB, pembangunan vendor Bumiputera bukan sekadar menyediakan tender dan kontrak, sebaliknya membina ekosistem yang mampu menyokong keperluan sistem tenaga serta kepentingan rakyat dan negara.
Inisiatif itu bermula pada 1994 menerusi Program Pembangunan Usahawan, sebelum berkembang menjadi Program Pembangunan Vendor Bumiputera (PPVB) dan Program Pengilang dan Kontraktor Bumiputera (PPKB). Pada 2024, usaha berkenaan diteruskan menerusi Program Pembangunan Vendor Bumiputera 3.0 (PV 3.0).
PV 3.0 memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu peluang pasaran perniagaan, pembiayaan dan pembangunan kompetensi. Program itu turut bertujuan membangunkan pengilang tempatan serta meluaskan penglibatan dalam bidang berkaitan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Sehingga 31 Ogos 2026, sebanyak 1,376 pelantikan PV 3.0 direkodkan bagi FY2025 hingga FY2026. Vendor Bumiputera merangkumi kira-kira 63 peratus daripada hampir 3,000 vendor tempatan aktif TNB, manakala nilai perolehan Bumiputera mencecah RM6.4 bilion, bersamaan 51.6 peratus.
Namun, angka berkenaan hanya menggambarkan sebahagian daripada usaha itu. TNB berpandangan peluang perniagaan perlu disertai kemampuan teknikal dan teknologi, kekuatan kewangan, pematuhan standard kualiti serta amalan keselamatan yang kukuh.
Pembangunan vendor merangkumi kursus Kad Kelayakan Teknikal (KKT), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Program Keusahawanan TNB-MARA, bimbingan kepada pengilang dan sokongan pembiayaan.
Matlamatnya bukan hanya membantu syarikat memperoleh projek, tetapi juga meningkatkan standard kerja, memperluas kepakaran dan membolehkan mereka bersaing untuk pasaran yang lebih besar.
Indkom Engineering Sdn Bhd dan Item Industrial Engineering Sdn Bhd antara syarikat yang menunjukkan perkembangan itu. Melalui peluang pembekalan, panduan spesifikasi dan pemantauan kualiti oleh TNB, Indkom memperoleh pensijilan ISO 9001:2015 serta Sijil Penerimaan Produk, selain mengembangkan perniagaan ke pasaran luar negara.
Item Industrial Engineering pula berkembang daripada kerja fabrikasi logam dan perdagangan kepada pembuatan alat suis dan tiang suapan. Keupayaannya kemudian diperluas kepada kerja pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan, sebelum menembusi pasaran India dan Australia.
Perkembangan vendor turut membawa kesan kepada pengambilan pekerja dan rantaian pembekal, dengan manfaat yang boleh melangkaui syarikat itu sendiri.
“Apabila syarikat kecil berkembang, kami menambah mesin, mengambil pekerja dan membeli bahan daripada pembekal lain. Ini mewujudkan kesan berantai yang membolehkan pekerja menyara keluarga, pembekal berkembang dan akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata Pengarah ETRA Power Sdn Bhd Datuk Effendi Mohd Tahir.
Akses kepada pembiayaan pula boleh menentukan sejauh mana syarikat yang berpotensi mampu berkembang. Pengurus Komunikasi Strategik TERAJU Fauzianita Farihah Saad berkata, kerjasama TERAJU dan TNB membantu syarikat Bumiputera yang berupaya mengendalikan perniagaan tetapi kurang kukuh dari segi kewangan untuk mendapatkan pembiayaan dan meningkatkan keupayaan.
Pembangunan modal insan turut menjadi sebahagian daripada usaha itu. Pengarah Urusan ADM Engineering Sdn Bhd Azrin Abdullah berkata peluang daripada TNB bukan sahaja membantu kontraktor Bumiputera berkembang, malah menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja mahir menerusi TVET.
“Apabila mereka belajar sambil bekerja, pengalaman itu membantu mereka membangunkan kemahiran untuk menghasilkan kerja yang lebih berkualiti,” katanya.
Peralihan tenaga, pemodenan grid dan pendigitalan pula membuka peluang dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), tenaga boleh baharu, sistem penyimpanan tenaga bateri, sistem hibrid solar-hidro terapung, pendigitalan, pusat data serta perundingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Abadi Engineering Muhammad Hamzi Rusli berkata pengalaman syarikatnya dalam sektor solar menunjukkan peluang projek perlu seiring dengan pembangunan kepakaran.
“Sepanjang tiga tahun bekerja dengan TNB dalam sektor solar, kami bukan sahaja diberi peluang projek, malah turut membangunkan keupayaan teknikal untuk mengendalikan sistem yang lebih kompleks dan berskala besar,” katanya.
Bagi tempoh September 2026 hingga Mac 2027, sebanyak 44 tender dirancang dalam perancangan TNB untuk vendor yang memiliki kelayakan dan keupayaan diperlukan.
TNB turut menekankan bahawa setiap peluang disertai tanggungjawab, memandangkan kerja vendor menjadi sebahagian daripada sistem tenaga yang digunakan orang ramai.
“Hubungan kami dengan TNB sudah melangkaui hubungan pelanggan dan pembekal; kami seperti satu keluarga. Cabaran TNB juga cabaran kami, dan kami berkongsi komitmen untuk menyelesaikannya demi kesejahteraan rakyat,” kata Pengarah FASTPRO Sdn Bhd Rohaizad Mat Sidin.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Ir Ts Shamsul Ahmad berkata syarikat itu komited memastikan vendor Bumiputera terus berkembang seiring perubahan sektor tenaga. Beliau berkata demikian ketika merasmikan TNB Vendor Day 2026 di TNB Platinum baru-baru ini.
“TNB bukan sekadar mewujudkan peluang perniagaan, tetapi mahu vendor Bumiputera berkembang bersama kami, menjadi lebih berdaya saing, menguasai teknologi baharu dan bersedia merebut peluang yang semakin meningkat dalam sektor tenaga.
“Apabila vendor lebih kukuh dan berkemampuan, mereka menguatkan rantaian bekalan serta keupayaan industri tempatan yang diperlukan untuk menyokong sistem tenaga negara,” katanya.
Menjelang 2030, TNB menyasarkan 1,763 vendor di bawah PV 3.0 dan nilai perolehan Bumiputera sebanyak 55 peratus.
Matlamat akhirnya, menurut TNB, bukan sekadar mencapai angka tersebut. Peningkatan keupayaan vendor Bumiputera dijangka membantu membangunkan lebih banyak kepakaran tempatan, melahirkan pekerja mahir, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan rantaian bekalan domestik.
Ekosistem itu penting bagi memastikan tanggungjawab TNB membekalkan elektrik yang stabil, mencukupi dan mampu milik terus dipenuhi, demi kesejahteraan rakyat, kemajuan ekonomi dan masa depan Malaysia.