Penternak babi Tanjong Sepat dibimbing beralih kepada aktiviti pertanian lain

Sumber: Bernama English

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membimbing penternak babi di Tanjong Sepat beralih kepada kegiatan pertanian lain yang lebih mampan dan berdaya maju, menerusi proses berstruktur bagi memastikan kesinambungan pendapatan mereka.

Dalam kenyataan hari ini, KPKM berkata antara bidang yang dikenal pasti sebagai pilihan ialah penternakan lembu dan ruminan kecil, pertanian moden, tanaman kontan bernilai tinggi serta perusahaan akuakultur.

Inisiatif itu dilaksanakan melalui sesi libat urus di bawah Program Peralihan Penternak Babi Tanjong Sepat yang berlangsung di sini semalam. Peserta akan dibimbing melalui proses terancang untuk mengurangkan risiko ketika beralih kepada subsektor pertanian atau bidang perniagaan lain.

KPKM berkata usaha itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk menjaga kebajikan pengusaha agromakanan, selain memacu pembangunan sektor berkenaan secara mampan.

Kementerian itu mengambil maklum cabaran yang dihadapi pemain industri dan yakin inisiatif peralihan berkenaan dapat membuka peluang baharu untuk kelestarian ekonomi penternak terbabit. KPKM turut menyatakan usaha itu berpotensi memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat dan ekosistem makanan negara.

Menurut KPKM, inisiatif berkenaan juga selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin. Ia turut merangkumi sesi perkongsian maklumat serta khidmat nasihat teknikal secara langsung oleh kementerian dan jabatan serta agensi berkaitan.

Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang, Agrobank dan Bioeconomy Corporation.