Tamu Muhibbah terus jadi tempat mencari rezeki wanita warga emas
MIRI, 27 Nov — Tamu Muhibbah di Jalan Padang, Miri, terus menjadi tempat mencari rezeki bagi wanita warga emas daripada pelbagai latar belakang etnik yang menjual hasil kebun, buah-buahan dan kuih tradisional.
Di sebalik deretan gerai itu, para peniaga meneruskan perniagaan kecil masing-masing meskipun berdepan keadaan pelanggan yang semakin berkurangan. Bagi sebahagian daripada mereka, berniaga bukan sahaja sumber pendapatan, malah sudah menjadi rutin harian.
Pasar yang terletak di tengah bandar Miri itu mula beroperasi sekitar 1985. Sejak itu, Tamu Muhibbah menjadi antara destinasi pilihan penduduk tempatan untuk mendapatkan pelbagai hasil tempatan, termasuk makanan tradisional dan hasil hutan dari kawasan pedalaman.
Kepelbagaian peniaga turut mencerminkan latar masyarakat di Miri. Antara komuniti yang berniaga di situ ialah Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Kedayan, Melayu dan Cina, menjadikan pasar itu tempat penduduk bertemu melalui kegiatan ekonomi harian.
Chew Nyuk Fah, 71, mula menjual sayur-sayuran pada 1994. Perniagaan itu menjadi sumber pendapatan utamanya ketika membesarkan empat orang anak sebagai ibu tunggal selama lebih 20 tahun.
Walaupun anak-anaknya kini sudah berjaya, Chew masih mengusahakan gerainya. Selepas hampir 32 tahun berniaga di pasar berkenaan, kegiatan itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
“Sekarang saya berniaga untuk menyara diri sendiri, sedangkan dahulu hasil jualan digunakan untuk menampung perbelanjaan anak-anak,” katanya.
Chew mendapatkan bekalan daripada tanaman sendiri dan sumbangan penduduk kampung berhampiran. Beliau berkata, suatu ketika dahulu pasar itu meriah dengan pelanggan, malah sayur-sayuran yang dibawanya kadangkala tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan.
Namun, jumlah pengunjung kini semakin berkurangan, sekali gus menjejaskan jualan dan pendapatan hariannya. Keadaan itu tidak mematahkan semangat Chew untuk terus berniaga.
“Dahulu, terutama pada hujung minggu, ramai pelanggan datang membeli, tetapi sekarang semakin kurang. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana masih sihat dan boleh datang berniaga setiap hari... dapat sedikit pun sudah memadai,” kata wanita berketurunan Iban yang berasal dari Sri Aman itu.
Semangat yang sama dikongsi Hatimah Yon, 70, adiknya Hasiah Yon, 67, dan anak saudara mereka, Hasiah Nawawi, 63. Ketiga-tiga wanita daripada keluarga yang sama itu sudah lama menjual pelbagai jenis kuih tradisional di Tamu Muhibbah.
Hatimah berkata, perniagaan itu bukan sekadar sumber pendapatan, tetapi juga rutin harian yang terus mereka lakukan walaupun bilangan pelanggan dan hasil jualan tidak lagi seperti dahulu.
Sebelum berpindah ke Tamu Muhibbah, mereka berniaga di premis Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC). Mereka memulakan kegiatan seawal 4 pagi dan berniaga sehingga 3 petang.
“Sekarang tidak ramai yang datang membeli dan kadangkala kuih kami tidak habis dijual. Namun, kami terus berniaga untuk menyara kehidupan,” kata Hatimah, yang sudah berniaga selama 40 tahun.
Selain menyediakan ruang untuk peniaga mencari rezeki, pasar itu turut memperlihatkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Miri. Kepelbagaian produk dan bahasa yang digunakan peniaga menambah warna kepada suasana pasar tradisional berkenaan.
Bagi menambah baik kemudahan perniagaan tempatan, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM900,000 di bawah Belanjawan 2026 untuk menaik taraf prasarana tiga lokasi utama komuniti dan pelancongan di Miri.
Lokasi berkenaan ialah Medan Saberkas, Tamu Muhibbah dan Pasar Terbuka. Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man, yang juga Ahli Parlimen Miri, berkata ketiga-tiga tempat itu penting sebagai lokasi pertemuan masyarakat.
Beliau berkata, tempat berkenaan turut menyediakan peluang perniagaan kepada penduduk serta platform untuk memasarkan produk, hasil tempatan dan makanan.