Tahfiz TVET buka laluan huffaz ke industri berteknologi tinggi
TAIPING, 26 Nov — Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz membuka peluang kepada pelajar tahfiz bukan arus perdana untuk menceburi bidang profesional, termasuk industri semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), tanpa mengetepikan pendidikan al-Quran.
Rektor Institut Kemahiran Darul Ridzuan (IKDAR), Dr Muhammad Faizal Tahiruddin berkata, pendekatan itu menyediakan laluan pendidikan dan latihan alternatif bagi lepasan sekolah tahfiz di luar sistem pendidikan arus perdana, khususnya mereka yang tidak memiliki kelayakan akademik seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, laluan berkenaan penting kerana sesetengah institusi tahfiz menggunakan sukatan pelajaran sendiri, sekali gus menyebabkan pelajar berdepan cabaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, kajian yang dijalankan bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2022 mendapati terdapat tujuh model pendidikan tahfiz di Malaysia. Kajian itu turut mendapati 68 peratus pelajar tahfiz tidak dapat melengkapkan hafazan kesemua 30 juzuk pada usia 18 tahun.
Sehubungan itu, katanya, perlu ada mekanisme yang membolehkan mereka meneruskan pendidikan dan membina kerjaya tanpa bergantung sepenuhnya pada laluan akademik konvensional.
IKDAR, yang ditubuhkan pada 2018, menggabungkan pendidikan tahfiz dengan latihan kemahiran. Muhammad Faizal berkata pelajar boleh memperoleh tiga pensijilan utama dalam tempoh dua tahun empat bulan melalui pendekatan itu.
Pensijilan berkenaan merangkumi SPM melalui program laluan pantas dengan Yayasan Perak dan Kementerian Pendidikan (MOE), Sijil Tahfiz Negeri Perak (STNP) serta Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).
IKDAR menawarkan empat bidang pengajian, iaitu Pengajaran Tahfiz, Pengurusan Tahfiz, Pendidikan Awal Kanak-kanak serta Pengurusan dan Pentadbiran.
Menurut Muhammad Faizal, gabungan pensijilan itu memberikan pelajar lebih banyak pilihan untuk bekerja atau menyambung pengajian. Kira-kira 80 peratus pelajar IKDAR melanjutkan pengajian ke program ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Bagi memastikan graduan kekal relevan dengan perkembangan teknologi, IKDAR turut bekerjasama dengan USIM untuk memperkenalkan pensijilan tambahan AI dalam modul pengajiannya.
Pendedahan itu, katanya, membolehkan pelajar menguasai kemahiran teknologi yang boleh digunakan dalam bidang pentadbiran, perniagaan, pengajaran dan pengurusan.
Dalam perkembangan berkaitan, IKDAR baru-baru ini menjalin kerjasama dengan syarikat semikonduktor multinasional berpangkalan di Taiwan, Advanced Semiconductor Engineering Inc. (ASE), bagi menyediakan latihan industri kepada 40 pelajar tahfiz.
Pelajar berkenaan akan menjalani latihan selama lima bulan di Malaysia dan sebulan di Taiwan sebagai persediaan untuk mengisi peranan jurutera teknikal junior dalam industri semikonduktor, kata Muhammad Faizal.
Beliau berkata kerajaan, menerusi inisiatif yang diterajui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyasarkan penghasilan 125,000 huffaz profesional menjelang 2030 bagi memenuhi keperluan menggabungkan pendidikan tahfiz dengan kemahiran berimpak tinggi di negara ini.
TVET Tahfiz menekankan tiga elemen utama, iaitu kepimpinan, kerohanian dan kebolehpasaran kerja, bagi melahirkan huffaz berkemampuan yang dapat memenuhi keperluan industri, katanya.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Dr Azmir Mohd Yunus berkata inisiatif TVET Tahfiz merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan negara yang menggabungkan pendidikan agama dengan kemahiran profesional.
Beliau berkata Dasar TVET Negara 2030 menekankan peningkatan penyertaan pelajar tahfiz dalam pendidikan dan latihan kemahiran, manakala Dasar Pendidikan Tahfiz Negara menggariskan penawaran kursus kemahiran sebagai sebahagian daripada kurikulum tahfiz.
“Kita tidak mahu menggantikan hafazan al-Quran dengan latihan teknikal, sebaliknya menambah nilai kepada pendidikan tahfiz melalui kemahiran yang diiktiraf supaya generasi huffaz profesional dapat dilahirkan,” katanya.
Rekod Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menunjukkan seramai 2,364 pelajar tahfiz mengikuti latihan kemahiran antara 2023 hingga 2025, manakala 900 pelajar memperoleh pensijilan kemahiran, kata Azmir.
Beliau berkata 36 institusi TVET awam turut dilaporkan terlibat dalam pelaksanaan TVET Tahfiz setakat Februari 2026.
Bagi menangani cabaran kelayakan akademik, katanya, pelbagai pendekatan fleksibel disediakan. Antaranya ialah program persediaan akademik selama tiga bulan oleh TVETMARA bagi program terpilih, latihan modular dan kursus pendek.
“TVET bukan laluan untuk satu kumpulan sahaja. Kita mahu pelajar tahfiz terus memelihara hafazan al-Quran sambil memperoleh kemahiran yang membuka peluang kerjaya,” katanya.