Semua kementerian perlu perkukuh kesiapsiagaan hadapi ancaman keselamatan baharu
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Semua kementerian dan agensi perlu memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan masing-masing bagi menghadapi ancaman keselamatan baharu yang semakin kompleks, selaras dengan hala tuju Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata ancaman keselamatan kini tidak lagi terbatas kepada soal kedaulatan sempadan negara, sebaliknya turut meliputi keselamatan siber, sistem kewangan, infrastruktur kritikal dan sekuriti makanan.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Komunikasi perlu terus meningkatkan kesiapsiagaan dan daya tahan infrastruktur telekomunikasi serta penyiaran negara bagi menghadapi ancaman yang muncul.
Fahmi berkata keselamatan negara memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kementerian, agensi, industri dan masyarakat demi melindungi kedaulatan negara serta kesejahteraan rakyat. Beliau menyampaikan perkara itu menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Fahmi menghadiri Majlis Pelancaran DKN 2026-2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini. Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memperkukuh keupayaan pertahanan serta kesiapsiagaan negara, selaras dengan hala tuju dasar berkenaan.
Menurutnya, kedaulatan negara bukan lagi sekadar usaha mempertahankan sempadan darat, udara dan maritim. Kepentingan strategik negara dalam domain siber dan angkasa juga termasuk dalam skop keselamatan yang perlu diberi perhatian.
Beliau berkata MINDEF akan terus memperkasa pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan Keseluruhan Masyarakat (WOGOS). Pendekatan itu berasaskan prinsip bahawa keselamatan dan kedaulatan negara bukan tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama.
Bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN), Saifuddin Nasution berkata kementerian itu bersama semua agensi di bawahnya komited menterjemahkan dasar berkenaan kepada tindakan.
Usaha tersebut, katanya, akan dilaksanakan dengan memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, kesiapsiagaan serta kerjasama strategik antara kementerian dan agensi.
Beliau berkata keselamatan negara ialah tanggungjawab bersama. Dalam menghadapi perubahan dan cabaran, kedaulatan negara serta keselamatan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.