MySP AI bantu sekolah kesan perubahan tingkah laku dan emosi murid
KUALA KANGSAR, 26 Nov (Bernama) -- Teknologi MySP AI membantu sekolah mengenal pasti perubahan tingkah laku dan emosi murid sebagai langkah awal memantau kesejahteraan mental mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif MySP AI Hafez Shuriddin.
Beliau berkata sistem itu menggunakan rekod aktiviti dan kehadiran murid sebagai petunjuk untuk membantu ibu bapa serta guru menilai perkembangan mereka dari semasa ke semasa.
Melalui teknologi pengecaman wajah, sistem berkenaan bukan sahaja merekodkan kehadiran, malah dapat mengesan perubahan ekspresi wajah seperti tanda muram atau sedih yang mungkin menunjukkan murid memerlukan perhatian.
“Pengesanan awal membolehkan ibu bapa dan guru membuat tindakan susulan dengan segera serta mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah kejadian tidak diingini melibatkan murid,” katanya kepada pemberita selepas program MySP TNGD di Sekolah Kebangsaan (SK) Sheikh Idris Al-Marbawi di sini semalam.
Hafez berkata imej wajah murid dirakam menggunakan kamera telefon pintar sebelum diproses melalui teknologi pengecaman wajah bagi mengesahkan identiti dan merekodkan kehadiran mereka.
Data kehadiran itu kemudian dianalisis untuk menghasilkan laporan menyeluruh mengenai kehadiran, disiplin, perkembangan sahsiah dan aktiviti murid. Pengecaman wajah biasanya dilakukan di pintu masuk utama sekolah, mengambil masa antara satu hingga 1.5 saat dan mempunyai jarak pengesanan sehingga empat meter.
Ibu bapa dan guru juga boleh mengakses rekod kehadiran, maklumat disiplin serta rekod kelakuan baik murid menerusi Sistem Pengurusan Pendidikan Bersepadu (MOEIS), katanya.
Menurut Hafez, sistem itu telah dilaksanakan di 194 sekolah dan memberi manfaat kepada kira-kira 55,000 murid di seluruh negara dalam tempoh dua tahun lepas.
Pada program itu, Hafez mewakili MySP AI manakala Ketua Perhubungan Kerajaan Touch 'n Go Digital (TNGD) Tengku Sofiah Aishah Tengku Mahmood menyaksikan pertukaran memorandum bagi memformalkan kerjasama antara kedua-dua pihak. Kerjasama itu melibatkan penyepaduan kemudahan pembayaran digital Touch 'n Go eWallet ke dalam sistem MySP AI.
Hafez berkata kerjasama itu bertujuan memperluas urus niaga tanpa tunai di kantin sekolah. Murid boleh membuat pembelian menggunakan pengecaman wajah yang dipautkan terus kepada akaun e-dompet ibu bapa, tanpa perlu membawa wang tunai atau telefon pintar ke sekolah.
Beliau berkata kemudahan itu dijangka menjadikan urus niaga harian murid lebih mudah dan mengurangkan risiko mereka tersalah letak atau kehilangan wang saku.
“Melalui kerjasama yang julung kali seumpamanya ini, ibu bapa juga dapat memantau perbelanjaan harian dan keselamatan anak-anak di sekolah dengan mudah dan telus,” katanya.