Saman MCMC terhadap Google diserahkan kepada peguam syarikat
KULAI, 27 Nov (Bernama) – Saman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google LLC berhubung dakwaan kegagalan menangani kandungan berbahaya di YouTube telah diserahkan kepada peguam syarikat itu di Malaysia, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata tindakan itu merupakan saman pertama MCMC terhadap Google, selepas suruhanjaya berkenaan sebelum ini mengambil tindakan undang-undang terhadap Telegram. Teo memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri program Aspirasi MADANI dan apresiasi Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan Murni Jaya di sini hari ini.
Menurut Teo, kelemahan sistem tapisan YouTube menyebabkan MCMC terpaksa menggunakan kakitangannya sendiri untuk memantau dan melaporkan kandungan berkaitan perjudian dalam talian. Katanya, Google sepatutnya mempunyai pasukan sendiri untuk menjalankan pemantauan itu.
MCMC memaklumkan sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube antara 1 Jan hingga 28 Okt tahun ini. Daripada jumlah itu, 74,569 laporan, bersamaan 99.8 peratus, berkaitan perjudian dalam talian.
Pada 25 Nov, MCMC mengumumkan dua saman terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta. Saman pertama mendakwa Google gagal mengambil langkah munasabah untuk menangani kandungan berbahaya, termasuk perjudian dalam talian dan penipuan.
Saman kedua pula berkaitan penerbitan semula kandungan oleh Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang. MCMC menuntut RM300 juta bagi setiap saman, merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.