MCMC teliti risiko dan kawal selia perkhidmatan permainan dalam talian
KUALA LUMPUR, 26 Nov — Kerajaan tidak bercadang mengenakan syarat pelesenan khas terhadap penyedia perkhidmatan permainan dalam talian seperti yang dikenakan kepada platform media sosial, sebaliknya sedang meneliti risiko serta pendekatan kawal selia yang sesuai menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kajian yang sedang dijalankan itu merangkumi aspek keselamatan kanak-kanak, interaksi pengguna, ciri dan kandungan permainan serta langkah perlindungan yang dilaksanakan penyedia perkhidmatan.
Beliau berkata MCMC turut meneliti pendekatan dan amalan antarabangsa bagi mengenal pasti langkah perlindungan yang sesuai dan berkesan.
Menurut Fahmi, hasil kajian itu akan menjadi asas untuk menentukan sama ada langkah perlindungan tambahan atau pendekatan kawal selia baharu perlu diperkenalkan. Ini termasuk kemungkinan menetapkan had umur dan mekanisme pengesahan umur bagi penggunaan platform permainan dalam talian.
Penilaian itu, katanya, mengambil kira konteks Malaysia, perkembangan industri, risiko yang dikenal pasti serta keberkesanan langkah perlindungan sedia ada. Fahmi menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai rancangan memperluas sekatan umur seperti yang dikenakan ke atas media sosial kepada platform permainan dalam talian, khususnya yang mempunyai ramai pengguna kanak-kanak dan remaja, dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) mengadakan rundingan awam bagi membangunkan “subkod permainan” dari 19 Sept hingga 24 Okt.
Fahmi berkata proses itu membabitkan pengendali gedung aplikasi, pembangun permainan tempatan dan antarabangsa, pakar keselamatan dalam talian, industri e-sukan, pengamal undang-undang serta penyelidik. Maklum balas yang diterima akan dipertimbangkan bagi memperhalusi subkod berkenaan.
Beliau berkata kerajaan komited memastikan sebarang langkah kawal selia yang diperkenalkan berasaskan bukti dan seimbang dengan tahap risiko. Keutamaan diberikan kepada keselamatan kanak-kanak dan remaja, selain menggalakkan pembangunan industri permainan dalam talian secara bertanggungjawab.
Menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), Fahmi berkata kerajaan sedang merangka kerangka pelesenan yang mewajibkan penyedia platform mempunyai pejabat di Malaysia. Namun, katanya, tindakan juga boleh diambil menerusi pendekatan lain.
Beliau memberi contoh isu berkaitan aplikasi kecerdasan buatan Grok pada platform X. Fahmi berkata kerajaan berhubung dengan wakil X dan Grok di Singapura selepas isu itu timbul.
Menurutnya, tekanan daripada Malaysia dan banyak negara lain menyebabkan Grok mengubah aplikasi berkenaan bagi menghalang penyalahgunaan alat kecerdasan buatan itu untuk menyunting atau mengubah imej menjadi kandungan eksplisit dan pornografi.