KESUMA utamakan automasi dan gaji lebih baik untuk kurangkan pekerja asing
KUALA LUMPUR, 26 Nov — Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberi keutamaan kepada penggunaan automasi dan teknologi moden, tarikan pelaburan serta peningkatan gaji pekerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, berkata penggunaan teknologi Industri 4.0 dan kecerdasan buatan, selain automasi kilang, mekanisasi perladangan serta Sistem Binaan Berindustri dalam sektor pembinaan, berpotensi mengurangkan keperluan terhadap tenaga kerja manual.
Beliau berkata insentif seperti elaun cukai pelaburan bagi automasi dan geran pendigitalan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana dapat membantu majikan menyusun semula operasi. Langkah itu juga membolehkan mereka beralih daripada kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah kepada penggunaan teknologi maju.
Ramanan berkata gaji lebih tinggi, terma pekerjaan yang lebih baik dan laluan kerjaya yang jelas boleh menarik bakat tempatan untuk menggantikan pekerja asing.
Melalui Dasar Gaji Progresif dan semakan gaji minimum, katanya, kadar upah yang mengambil kira produktiviti serta kemahiran pekerja dapat menjadikan sektor yang sebelum ini kurang diminati pekerja tempatan lebih menarik.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai strategi jangka panjang kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor tertentu pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Ramanan berkata KESUMA turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan menerusi pelbagai program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Menurutnya, program TVET kementerian itu menyediakan kemahiran kepada graduan tempatan untuk mengendalikan, mengurus dan menyelenggara sistem automasi maju, sekali gus membolehkan mereka mengisi jawatan teknikal baharu yang diwujudkan melalui pemodenan.
Bagaimanapun, beliau berkata pekerja asing masih diperlukan dalam sektor tertentu, khususnya perladangan, berikutan kurangnya minat dalam kalangan pekerja tempatan.
“Dalam sektor 3D, iaitu kotor, berbahaya dan sukar, sebagai contoh, kita tiada pilihan selain bergantung kepada tenaga kerja asing. Terdapat lebih 80,000 peluang pekerjaan, termasuk dalam sektor perkhidmatan dan 3D, tetapi tiada yang berminat,” katanya.