Reformasi pendidikan MADANI tumpu bantuan terus dan jurang pembelajaran
KUALA LUMPUR, 27 Nov — Bantuan terus kepada murid dan intervensi pembelajaran bersasar menjadi antara kekuatan reformasi pendidikan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata Program Anak Kita (PAK) memberi manfaat besar kerana menumpukan bantuan kepada murid yang menghadapi kesukaran menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
“Lebih awal kita dapat membantu mereka, lebih baik. Pada pandangan saya, ini program yang baik dan membawa manfaat besar kepada kanak-kanak yang ketinggalan dalam kemahiran asas ini,” katanya kepada Bernama sempena ulang tahun keempat Kerajaan MADANI.
Menurut Anuar, PAK membantu menangani peningkatan bilangan murid yang berdepan masalah literasi selepas pandemik COVID-19. Program itu wajar diteruskan supaya murid yang ketinggalan akibat kemiskinan, sokongan ibu bapa yang terhad dan kesukaran pembelajaran mendapat bantuan awal.
Beliau berkata bantuan awal membolehkan murid menguasai kemahiran asas sebelum meneruskan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Dokumen bertajuk ‘Empat Tahun Kerajaan MADANI: Dari Dasar ke Realiti Kesejahteraan Rakyat’ oleh Unit Pemantauan MADANI, Pejabat Perdana Menteri, menyatakan 89 peratus daripada 10,116 murid yang menyertai Program Pecutan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 lulus peperiksaan.
Dokumen itu turut menyenaraikan Tuisyen MADANI percuma di 1,500 sekolah sebagai antara usaha menyokong pembelajaran murid.
Pada 2025, sebanyak 57 peratus daripada 53,252 peserta Program 3M kembali mengikuti kelas arus perdana. Komponen SPM yang melibatkan 20,000 murid pula mencatatkan kadar lulus 98 peratus, manakala komponen bagi 500 murid yang tercicir daripada persekolahan mencapai kadar lulus SPM sebanyak 89 peratus.
Secara keseluruhan, PAK melibatkan 83,868 murid daripada 2,362 sekolah. Pelaksanaannya membabitkan kerjasama kerajaan, universiti awam, organisasi masyarakat sivil serta rakan korporat dan antarabangsa.
Pemilihan peserta dibuat menggunakan data untuk mengenal pasti murid yang paling berisiko ketinggalan. Mereka termasuk murid yang gagal atau hampir gagal dalam Bahasa Melayu dan Sejarah, serta murid kelas pemulihan yang menghadapi masalah literasi dan numerasi.
Intervensi yang disediakan merangkumi sokongan akademik, emosi dan teknologi melalui pengajaran dan pembelajaran bersesuaian, bimbingan, kaunseling serta penggunaan tablet digital.
Kelestarian program pula diperkukuh menerusi latihan kepada guru, modul amalan terbaik dan pemantauan serta penilaian berterusan.
Mengulas kepimpinan Perdana Menteri, Anuar berkata peningkatan peruntukan pendidikan setiap tahun menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu murid secara langsung. Usaha itu termasuk penyelenggaraan sekolah, Program Makanan Tambahan dan kenaikan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 tahun depan.
“Kita tidak melihat banyak pelancaran yang bersifat upacara dan program seumpamanya, sebaliknya tumpuan diberikan untuk memastikan setiap sen yang disalurkan melalui belanjawan kerajaan dibelanjakan bagi pendidikan anak-anak kita,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pertambahan bilangan guru sebagai langkah penting kerana pendidik merupakan tulang belakang sistem pendidikan. Penambahan guru, katanya, dapat meningkatkan mutu pengajaran di kawasan yang memerlukannya.
Anuar berkata perhatian awal Perdana Menteri terhadap usaha menaik taraf tandas sekolah juga mencerminkan penekanan kepada keperluan asas murid, agar mereka dapat membesar dan belajar dalam persekitaran yang selesa.
Bagi kesinambungan PAK pada 2026, dokumen Unit Pemantauan MADANI menyenaraikan 11,349 murid sebagai peserta Program 3M, dengan sasaran 60 peratus kembali ke kelas arus perdana. Program Pecutan SPM pula melibatkan 26,181 murid, dengan sasaran kadar lulus 80 peratus.
Inisiatif tahun ini turut merangkumi program intervensi keciciran pendidikan di Tasik Banding, Gerik, Perak, yang bertujuan membawa murid kembali ke sistem persekolahan Kementerian Pendidikan. Program Kecerdasan Buatan (AI) untuk Guru juga disenaraikan.
Anuar berkata usaha meningkatkan mutu pendidikan perlu diteruskan supaya murid bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan kebangsaan, malah berupaya bersaing di peringkat antarabangsa, termasuk dalam bidang robotik dan teknologi.