Empat strategi tangani kesan ekonomi konflik Asia Barat
KUALA LUMPUR, 26 Nov — Kerajaan memberi tumpuan kepada empat bidang utama bagi menangani kesan konflik berterusan di Asia Barat, iaitu rasionalisasi fiskal, keselamatan rantaian bekalan strategik, kelestarian industri dan perniagaan tempatan serta pengurusan kos sara hidup.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata empat bidang itu menjadi asas kepada pelbagai langkah kerajaan untuk memperkukuh daya tahan ekonomi negara ketika berdepan ketidaktentuan global.
Beliau berkata rasionalisasi fiskal merangkumi kawalan perbelanjaan, pengukuhan daya tahan fiskal dan usaha mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi. Bagi menjamin bekalan strategik serta barangan keperluan pengguna, kerajaan turut mengenal pasti sumber bekalan alternatif.
“Ketiga, memastikan kelestarian industri dan perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dalam menghadapi tekanan kos termasuk menyediakan akses kepada pembiayaan.
“Keempat, mengurus kos sara hidup dengan menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan serta menyokong kehidupan rakyat melalui subsidi dan bantuan kewangan tambahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Armizan menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai jangkaan kerajaan terhadap kesan konflik Amerika Syarikat-Iran dan kemungkinan gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz terhadap kos sara hidup di Malaysia. Soalan itu turut menyentuh kemungkinan kenaikan harga minyak, kos pengangkutan serta harga makanan dan barangan keperluan.
Beliau berkata konflik berkenaan mencetuskan krisis bekalan global, dengan negara-negara bersaing mendapatkan sumber bekalan alternatif. Dalam masa sama, terdapat negara yang memilih untuk mengehadkan atau melarang eksport barangan dan komoditi keluaran domestik.
Krisis bekalan itu, katanya, menjejaskan keadaan ekonomi dan kos sara hidup di seluruh dunia. Harga barangan dan perkhidmatan, termasuk kos logistik, meningkat apabila pasaran global berdepan kejutan dan tekanan akibat ketidakseimbangan penawaran serta permintaan.
Armizan berkata pada fasa awal konflik yang bermula pada 28 Feb, rizab bekalan sedia ada negara hanya mencukupi untuk tempoh dua bulan. Bagaimanapun, usaha berterusan kerajaan membantu memanjangkan jaminan keselamatan bekalan.
Langkah berkenaan juga memastikan bekalan barangan keperluan pengguna, termasuk bahan api, tidak terputus dan mengelakkan keperluan catuan, yang telah dilaksanakan beberapa negara lain. Kadar inflasi negara pula kekal terkawal pada bawah dua peratus.
Beliau berkata kerajaan akan meneruskan pelbagai strategi menangani kos sara hidup, termasuk inisiatif dalam Belanjawan 2027 dan Pelan Tindakan Kos Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30), yang dilancarkan pada 24 Okt.