Banjir di Selangor dan Perak bertambah baik, jumlah mangsa menurun
KUALA LUMPUR, 27 Nov — Keadaan banjir di Selangor dan Perak terus bertambah baik pagi ini apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri berkurangan berbanding petang semalam.
Di Selangor, seramai 978 orang daripada 303 keluarga masih berada di PPS, berbanding 1,430 orang daripada 404 keluarga pada petang semalam, menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kuala Langat mencatat jumlah mangsa tertinggi. Seramai 775 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, manakala Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang menempatkan 17 orang dan Balai Raya Kampung Sungai Kelambu menempatkan 16 orang.
Di Kuala Selangor, seramai 108 mangsa berada di Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan dan 41 orang di Sekolah Agama Batu 8 Ijok. Sementara itu, 21 mangsa di Sepang berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali.
Dalam perkembangan berasingan, beberapa pengguna media sosial berkongsi gambar dan maklumat mengenai kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Klang susulan hujan lebat awal hari ini. Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan utama ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja.
Di Perak, jumlah mangsa banjir di tiga PPS dalam tiga daerah turun sedikit kepada 204 orang daripada 60 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 209 orang daripada 62 keluarga pada hari sebelumnya.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai, Manjung, kekal 127 orang daripada 37 keluarga. Di Hilir Perak, jumlah penghuni di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan berkurangan kepada 69 orang daripada 20 keluarga.
Di Larut, Matang dan Selama pula, lapan orang daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS SK Batu Hampar. Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, Kerian, mencapai tahap bahaya, iaitu 9.23 meter berbanding paras normal 8.68 meter.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir di semua daerah di Perak petang ini.