Permohonan lanjutan pajakan tanah Manjoi tertakluk Kanun Tanah Negara
IPOH, 26 Nov — Permohonan melanjutkan tempoh pajakan tanah di Perak, termasuk di kampung dalam Gugusan Manjoi seperti Kampung Manjoi dan Kampung Sungai Tapah, diproses mengikut Seksyen 90A Kanun Tanah Negara (Akta 828) serta Kaedah-Kaedah Tanah Perak 1966, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata pemilik berdaftar tanah yang tempoh pajakannya masih berbaki boleh memohon lanjutan di bawah Seksyen 90A akta berkenaan. Bagi pemilik asal tanah yang pajakannya telah tamat, mereka pula boleh memohon pemberimilikan semula tanah kerajaan di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara.
Permohonan bagi kedua-dua urusan itu boleh dibuat melalui Portal Awam “e-Tanah Perak”, katanya ketika menjawab soalan lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.
Menurut Saarani, bagi tanah yang dikategorikan sebagai kediaman, lanjutan pajakan boleh dipertimbangkan dan diluluskan untuk tempoh maksimum 99 tahun, dengan mengambil kira baki tempoh pajakan sedia ada yang masih sah.
Bagaimanapun, had maksimum itu tidak bermakna setiap permohonan akan diluluskan secara automatik. Semua permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi portal berkenaan, katanya.
Saarani menjawab soalan Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi), yang meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan negeri berhubung status semasa lanjutan pajakan tanah di Gugusan Manjoi bagi menjaga hak dan kepentingan penduduk terjejas. Beliau turut bertanya sama ada kerajaan negeri bercadang mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan mengenai isu itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata pihak berkuasa negeri meluluskan penurunan kuasa bagi mempercepat urusan pentadbiran tanah dan melindungi hak penduduk. Peruntukan itu terkandung dalam Warta Kerajaan No. 2341 bertarikh 16 Dis 2021.
Melalui penurunan kuasa itu, Pentadbir Tanah Daerah diberi kuasa meluluskan atau menolak permohonan lanjutan tempoh pajakan bagi hak milik pajakan Mukim kategori kediaman yang meliputi kawasan sehingga 2 ekar.
Pengarah Tanah dan Galian Perak pula diberi kuasa meluluskan permohonan bagi hak milik pajakan negeri kategori kediaman yang meliputi kawasan sehingga 20 ekar, katanya.
Permohonan yang termasuk dalam skop kuasa berkenaan boleh diputuskan pada peringkat pentadbiran tanah tanpa perlu dikemukakan satu demi satu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK). Namun, sebarang kelulusan masih tertakluk pada Kaedah-Kaedah Tanah Perak 1966 dan syarat yang ditetapkan pihak berkuasa negeri.
Mengenai kadar premium tanah kediaman, Saarani berkata penentuannya dibuat berdasarkan Kaedah 8(8) Kaedah-Kaedah Tanah Perak 1966. Pentadbir Tanah perlu merujuk setiap permohonan kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) untuk mendapatkan nilai pasaran semasa sebelum tuntutan premium dikeluarkan menerusi Notis 5A.
Bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah, kerajaan negeri menyediakan pilihan pembayaran premium secara ansuran, tertakluk pada surat akujanji. Pemohon juga boleh mengemukakan rayuan untuk pengurangan premium mengikut “Dasar Rayuan Pengurangan Premium” bagi pemohon yang layak.
“Bagi membantu golongan miskin menjelaskan premium, pemohon boleh meminta untuk membayar secara ansuran dan permintaan itu akan dipertimbangkan oleh pihak berkuasa negeri. Permintaan berkenaan perlu disertakan surat akujanji untuk menjelaskan bayaran dalam tempoh yang munasabah,” katanya.
Selain kemudahan ansuran, rayuan pengurangan premium boleh dibuat berdasarkan dasar yang dirujuk dalam Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak No. 3 Tahun 2020, katanya.
Rayuan itu dipertimbangkan bagi pemohon individu yang benar-benar layak, termasuk golongan miskin tegar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Saarani menegaskan pertimbangan tersebut tidak menjamin pengurangan premium secara automatik. Setiap rayuan tertakluk pada kelayakan pemohon dan keputusan pihak berkuasa negeri, serta dikendalikan berdasarkan kes masing-masing.