Pameran mainan Jepun di Muzium Perak imbau nostalgia, tarik 16,456 pengunjung
TAIPING, 26 Nov — Pameran “Omocha: Japanese Toys Today” di Muzium Perak di sini menghimpunkan 162 koleksi mainan Jepun, termasuk watak Doraemon, Ultraman dan Pokémon, yang mengimbau kenangan zaman kanak-kanak serta menarik minat pengunjung daripada pelbagai generasi.
Pameran yang berlangsung dari 1 Nov hingga 13 Dis itu menampilkan barangan yang memperlihatkan perubahan mainan Jepun, daripada watak animasi yang popular sejak 1960-an kepada produk yang menggunakan teknologi digital.
Pameran berkenaan dianjurkan menerusi kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Muzium Malaysia melalui Muzium Perak, dan Japan Foundation.
Pengarah Muzium Perak, Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir, berkata pameran itu berpotensi menjadi wadah pendidikan tidak formal kepada orang ramai untuk mengenali sejarah, kreativiti, inovasi dan perkembangan teknologi dalam industri mainan Jepun.
Beliau berkata pameran itu juga membantu memperkukuh hubungan kebudayaan antara Malaysia dengan Jepun. Pengunjung bukan sahaja dapat melihat mainan sebagai bahan hiburan atau koleksi nostalgia, malah memahami bagaimana objek itu menggambarkan perkembangan sejarah, kreativiti, pemikiran dan identiti sesebuah masyarakat.
“Objektif utama Pameran Omocha adalah untuk menonjolkan keunikan budaya Jepun melalui mainan, yang berkait rapat dengan kehidupan manusia dan masyarakat.
“Mainan bukan sekadar untuk hiburan; ia juga berperanan sebagai alat pendidikan, memupuk kreativiti dan mencerminkan perkembangan budaya serta intelektual sesebuah masyarakat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Antara tarikan pameran ialah mainan berasaskan watak animasi popular seperti Ultraman, Doraemon dan Pokémon. Watak-watak itu mempunyai peminat daripada pelbagai generasi, termasuk mereka yang mengenalinya ketika masih disiarkan di televisyen.
Pameran turut memperlihatkan koleksi lain yang mempunyai tarikan tersendiri, antaranya Nanoblock dan Sylvanian Families. Barisan mainan bertemakan kenderaan seperti Tomica dan Plarail juga dipamerkan.
Kemajuan teknologi turut mengubah industri mainan, dengan kemunculan produk digital yang menawarkan ciri interaktif dan pengalaman baharu. Antara produk yang diketengahkan ialah Punirunes dan #BuzzCam, yang diperkenalkan pada alaf baharu.
Koleksi di muzium itu turut merangkumi kereta mini Tomica serta watak dan produk seperti Transformers, Godzilla, Tamagotchi, Doraemon, Ultraman, Pokémon dan Sylvanian Families.
Mohd Nasrulamiazam berkata pameran itu turut menunjukkan persamaan antara permainan tradisional Jepun dengan permainan tradisional Malaysia. Otedama, misalnya, mempunyai persamaan dengan permainan batu seremban, manakala tako, iaitu layang-layang, menyerupai wau tradisional Malaysia.
Menurut beliau, persamaan itu menggambarkan nilai dan pendekatan yang sebanding dalam masyarakat berlainan negara ketika mencipta permainan. Permainan juga boleh membantu membina kemahiran, menggalakkan kreativiti dan mewujudkan interaksi sosial.
Beliau berkata animasi dan mainan Jepun turut mempengaruhi masyarakat Malaysia, khususnya mereka yang membesar pada 1980-an dan 1990-an dengan watak seperti Doraemon, Ultraman dan Masked Rider.
“Generasi lebih tua mungkin melihat koleksi ini sebagai kenangan zaman kanak-kanak, manakala generasi muda tertarik kepada aspek teknologi, reka bentuk dan pengaruh anime yang menjadi sebahagian daripada trend semasa,” katanya.
Beliau berkata pameran itu mencerminkan usaha muzium memperluas peranan pendidikannya dengan menampilkan bukan sahaja artifak sejarah, tetapi juga objek kontemporari yang berpotensi menjadi sebahagian daripada warisan negara pada masa hadapan.
Setakat ini, seramai 16,456 orang telah mengunjungi pameran itu. Jabatan Muzium Perak menjangkakan jumlah pengunjung akan melebihi 20,000 orang menjelang pameran berakhir pada 13 Dis.
Mohd Nasrulamiazam berkata kerjasama kebudayaan antara Malaysia dengan Jepun juga boleh diperluas melalui program pendidikan, sesi perkongsian ilmu, forum dan perbincangan mengenai sejarah serta warisan kedua-dua negara.
Beliau berharap kerjasama itu tidak terhenti setakat pertukaran pameran, sebaliknya turut merangkumi inisiatif pendidikan dan perkongsian ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat kedua-dua negara.
“Muzium harus dilihat sebagai institusi yang hidup dan sentiasa berkembang, bukan sekadar tempat menyimpan barangan lama, tetapi ruang untuk orang ramai meneroka sejarah, memahami budaya dan mengikuti perkembangan semasa,” katanya.
Sementara itu, guru Sekolah Kebangsaan Taman Jana di Taiping, Syafiqah Zahidah Mohamed Zahari, berkata pendedahan kepada permainan tradisional dan moden Jepun memberikan pengalaman pembelajaran yang unik.
Beliau berkata permainan itu boleh merangsang pemikiran kritis dan kreativiti, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, selain membolehkan murid mengetahui cara masyarakat di negara lain bermain.
Permainan berkenaan juga dapat membantu perkembangan kemahiran psikomotor murid serta menggalakkan mereka berfikir dengan lebih kreatif, katanya.
“Berdasarkan manfaat ini, mungkin pihak kami boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan permainan seperti ini kepada murid sebagai cara mengenali budaya permainan Jepun,” katanya.