Asas kukuh dan pendedahan industri penting bina bakat keselamatan siber
KUALA LUMPUR, 26 Nov — Malaysia perlu memperkukuh asas keselamatan siber, pendedahan kepada industri dan pembelajaran berterusan dalam kalangan graduan bagi membangunkan kumpulan bakat mampan yang mampu menangani ancaman baharu dalam era kecerdasan buatan (AI) dan kuantum.
Profesor Madya Keselamatan Siber Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Manmeet Kaur Mahinderjit Singh, berkata pendidikan dalam bidang itu wajar mengutamakan pengetahuan asas sebelum pelajar mendalami pengkhususan seperti keselamatan AI dan keselamatan siber pascakuantum.
Beliau berkata pelajar perlu memahami sistem dan kelemahannya terlebih dahulu, sebelum beralih kepada pengkhususan ketika memasuki tahun kedua pengajian atau seterusnya.
Manmeet berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai perbincangan panel NEXSEC 2026 bertajuk “Building Malaysia’s Cybersecurity Talent for the AI and Quantum Era” di sini hari ini.
Mengulas kesiapsiagaan Malaysia membangunkan bakat keselamatan siber, beliau berkata beberapa universiti sudah memperkenalkan program yang menggabungkan pembelajaran asas dengan pengkhususan.
Beliau turut menyebut inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi program 2u2i yang memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman industri melalui dua tahun pengajian di universiti dan dua tahun dalam industri.
Menurutnya, inisiatif literasi digital berasaskan komuniti juga berperanan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ancaman siber yang kian berkembang. Antaranya ialah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Manmeet berkata usaha itu dapat membantu masyarakat memahami ancaman seperti klon suara yang dijana AI serta mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk menetapkan kata selamat bersama ahli keluarga bagi mengesahkan panggilan yang mencurigakan.
Beliau menyifatkan pembangunan bakat keselamatan siber sebagai tanggungjawab bersama universiti, pemain industri dan agensi kerajaan, termasuk CyberSecurity Malaysia.
Bagi mengekalkan kumpulan bakat dalam tempoh lima tahun akan datang, Manmeet berkata pembelajaran berterusan, ganjaran dan imbuhan pekerja yang kompetitif serta peluang kemajuan kerjaya penting untuk mengekalkan tenaga profesional mahir dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata latihan yang mudah diakses, termasuk program percuma, boleh menggalakkan individu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keselamatan siber secara berterusan.
Keusahawanan turut menjadi satu laluan pembangunan kerjaya, katanya. Universiti dan agensi boleh membantu pekerja menubuhkan usaha niaga terbitan serta meneroka peluang di luar pekerjaan konvensional.
Sementara itu, Pengarah Latihan Teknikal Keselamatan Siber Blackberry, Jaclyn Sim, berkata Malaysia perlu melaksanakan latihan keselamatan siber secara berterusan, dengan modul pembelajaran dikemas kini setiap tiga hingga enam bulan.
Beliau berkata program latihan perlu berkembang secara berterusan dan tidak menunggu proses semakan kurikulum yang panjang, memandangkan profesional keselamatan siber perlu mengikuti perubahan teknologi dan kaedah serangan.
“Namun, kita tidak boleh menunggu dua atau tiga tahun untuk perubahan kurikulum sepenuhnya sebelum mengadakan latihan seterusnya. Latihan bukan sesuatu yang dilakukan sekali sahaja dan selesai. Pembangunan keupayaan perlu berterusan,” katanya.
Sim berkata profesional juga perlu memahami risiko keselamatan AI yang melangkaui kejuruteraan arahan, termasuk keracunan data dan suntikan arahan. Mereka turut perlu tahu cara memantau, mengawal dan membendung tingkah laku autonomi ejen AI.
Beliau berkata lebih 12,000 orang sudah dilatih menerusi Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber MCMC-BlackBerry (CCOE), dengan jumlah kira-kira 91,000 jam latihan dan lebih 600 kelas.
CCOE menggunakan pendekatan 70-20-10, merangkumi 70 peratus pengetahuan asas daripada universiti, 20 peratus simulasi praktikal dan senario dunia sebenar yang disediakan industri, serta 10 peratus pendedahan kepada teknologi baharu.
Sim berkata kerjasama kerajaan, ahli akademik dan industri membantu membahagikan tanggungjawab latihan, manakala pendekatan itu menyediakan gabungan asas teori, pengalaman praktikal dan pendedahan kepada teknologi yang sedang berkembang.