Anwar umum peruntukan RM1.497 juta naik taraf 11 institusi pendidikan Islam di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan khas RM1.497 juta bagi menaik taraf kemudahan di 11 institusi pendidikan Islam dan tahfiz di Terengganu.
Anwar berkata peruntukan itu meliputi institusi di enam kawasan Parlimen dan akan digunakan untuk kerja pembaikan infrastruktur serta kemudahan. Usaha itu bertujuan menambah baik prasarana dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat serta kondusif kepada pelajar.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu ke-46 dan Anugerah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM 2026, serta Anugerah Cendekiawan Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam.
“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh pembangunan modal insan yang seimbang dengan mengintegrasikan nilai kerohanian dan pembinaan sahsiah dalam sistem pendidikan negara,” katanya.
Antara institusi yang dinamakan sebagai penerima peruntukan khas itu ialah Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Besut; Madrasatul Quran Kubang Bujuk di Serada, Kuala Terengganu; Institut Tahfiz Al-Quran Al-Mizan di Dungun; dan Madrasah Darul Iman di Marang.
Turut disenaraikan ialah Madrasah STC dan Pusat Tahfiz Anak Yatim Al-Sidiqi di Kuala Nerus, serta Sekolah Menengah Darul Furqan di Besut.