Ahmad Zahid ajak umat Islam sertai perhimpunan 26K Huffaz esok
IPOH, 26 Nov — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak umat Islam menghadiri program Perhimpunan 26K Huffaz dan Bagan Datuk Bermunajat 2026 di Masjid Tuminah Hamidi esok.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata program bertemakan “Huffaz Memacu Peradaban” itu akan berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam. Pelbagai aktiviti pendidikan dan kerohanian disediakan untuk masyarakat sepanjang program berkenaan.
Antara pengisian yang dirancang ialah Klinik al-Quran Interaktif, sesi tadabbur al-Quran dan tahsin al-qiraat. Pengunjung juga boleh melihat pameran artifak milik Nabi Muhammad dan para sahabat, selain pameran institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), institusi pendidikan lain serta agensi kerajaan.
Program itu turut merangkumi perbincangan mengenai amalan terbaik dalam kalangan institusi tahfiz. Sesi munajat, bacaan selawat dan doa untuk keamanan serta kesejahteraan negara juga akan diadakan.
“Saya menjemput semua umat Islam untuk bersama-sama menyertai program ini, mengambil bahagian dalam aktiviti yang disediakan, mendalami kecintaan terhadap al-Quran dan mengimarahkan rumah Allah SWT,” katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menggalakkan pengunjung lelaki memakai Baju Melayu putih atau jubah, manakala wanita disaran mengenakan jubah hitam.