Abdul Gani Patail, tokoh pendakwaan kes berprofil tinggi, meninggal dunia

Sumber: Bernama English

KUALA LUMPUR, 26 Nov — Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang memainkan peranan utama dalam beberapa kes berprofil tinggi sepanjang lebih tiga dekad dalam bidang perundangan, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini malam ini akibat jangkitan.

Berita kematian itu disahkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Seluruh Jabatan Peguam Negara (AGC) mengucapkan takziah kepada keluarganya dan berdoa agar Allah mencurahkan rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham,” katanya ketika dihubungi.

Sepanjang kerjayanya, Abdul Gani mengendalikan beberapa pendakwaan yang mendapat perhatian umum, termasuk kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Joseph Pairin Kitingan pada 1993 dan kes kumpulan militan Al-Ma’unah pada 2000.

Beliau turut mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes membabitkan 30 individu, termasuk warga Filipina, yang didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta terlibat dalam pelbagai kegiatan berkaitan keganasan di Lahad Datu, Sabah, pada 2013.

Abdul Gani juga menjadi sebahagian daripada pasukan pendakwaan dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006.

Pada 2010, beliau mengetuai pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, yang didakwa menipu kerajaan Malaysia berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Kes itu melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah bernilai RM1.08 bilion.

Kes rasuah membabitkan bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berhubung pembelian hartanah turut dikendalikan Abdul Gani. Beliau juga mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes pecah amanah melibatkan RM76.4 juta terhadap bekas pengarah urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd, Tan Sri Eric Chia Eng Hock.

Selain itu, beliau mengendalikan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam.

Dilahirkan pada 6 Okt 1955, Abdul Gani memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1980. Beliau kemudian berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara di Tawau, Sabah.

Beliau merupakan anak Sabah pertama memegang jawatan itu selepas pejabat Peguam Negara Persekutuan ditubuhkan di negeri berkenaan.

Antara jawatan penting yang disandangnya termasuk ketua pendakwaan Sabah pada 1991 dan ketua Bahagian Pendakwaan AGC dari 16 Jan hingga 14 Okt 1994. Beliau seterusnya menjadi ketua dan penasihat Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa AGC dari 1 April 1995 hingga 31 Mei 1997.

Abdul Gani berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Semakan Undang-Undang dari 1997 hingga 2000 sebelum kembali mengetuai Bahagian Pendakwaan pada 1 Feb 2000.

Pada 19 Nov 2001, beliau dilantik sebagai Peguam Negara Malaysia kelapan dan secara rasmi memegang jawatan itu pada 1 Jan 2002. Pelantikan tersebut menjadikannya graduan undang-undang pertama yang mendapat latihan tempatan dilantik ke jawatan berkenaan, selain anak Sabah pertama memegang salah satu jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam Persekutuan.

Beliau menerajui institusi perundangan tertinggi negara selama lebih 13 tahun, dari 2002 hingga 2015. Tempoh perkhidmatannya sebagai Peguam Negara ditamatkan atas faktor kesihatan berkuat kuasa 27 Julai 2015.

Bagaimanapun, Abdul Gani terus berkhidmat sebagai pegawai dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga mencapai umur persaraan wajib pada 6 Okt 2015.

Beliau turut menyumbang kepakaran dalam beberapa peranan lain, termasuk sebagai anggota Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Abdul Gani dilantik sebagai profesor adjung di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama dua tahun bermula 1 Okt 2011 dan berkhidmat sebagai pengerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada 23 Dis 2016, beliau diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.