5,101 usahawan terima peruntukan RM14.99 juta di bawah Skim Usahawan Bangkit
KUALA TERENGGANU, 26 Nov — Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM14.99 juta kepada 5,101 usahawan di seluruh negara menerusi Skim Usahawan Bangkit setakat 23 Nov, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata jumlah itu diluluskan daripada keseluruhan 12,499 permohonan yang diterima. Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan skim berkenaan kepada RM200 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi meluaskan jangkauannya.
“Ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasa usahawan B40 dan peniaga kecil sebagai pemacu utama ekonomi rakyat,” katanya ketika merasmikan skim itu di peringkat negeri di sini hari ini.
Anwar berkata kerajaan turut menekankan kepentingan pendigitalan bagi meningkatkan daya saing usahawan tempatan, selaras dengan falsafah Belanjawan MADANI 2027.
Beliau turut berkata produk dan perusahaan tempatan Terengganu yang mempunyai keunikan tersendiri, termasuk songket, batik dan keropok lekor, perlu dimanfaatkan sebagai kekuatan ekonomi. Sektor berasaskan marin dan pelancongan di negeri itu juga berpotensi menembusi pasaran yang lebih luas.
Menerusi program SejaTI MADANI@Usahawan B40, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.04 juta kepada 380 usahawan dan peniaga kecil di Terengganu, katanya. Bantuan peralatan itu bertujuan meningkatkan keupayaan serta produktiviti perniagaan mereka.