Gas Malaysia bekal biomethane bersijil untuk jualan BioLNG ke Jepun

KUALA LUMPUR: Gas Malaysia Bhd, melalui anak syarikatnya Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd, membekalkan biomethane yang mendapat pensijilan antarabangsa bagi menyokong jualan spot gas asli cecair bio (BioLNG) ke Jepun.
Gas Malaysia berkata urus niaga itu merupakan pembekalan pertama biomethane yang diperakui International Sustainability and Carbon Certification (ISCC) untuk jualan BioLNG antarabangsa. Syarikat itu menyifatkannya sebagai pencapaian penting dalam usaha membawa sumber gas boleh baharu Malaysia ke pasaran luar negara.
ISCC ialah skim pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi mengesahkan kelestarian dan kebolehkesanan bahan serta produk, termasuk biomethane yang dihasilkan daripada sisa organik.
Bekalan biomethane berkenaan diperoleh melalui Gas Malaysia Green Ventures Sdn Bhd (GMGV), anak syarikat yang bertanggungjawab membangunkan perniagaan gas hijau kumpulan itu. Sejak 2019, kegiatan GMGV merangkumi pengeluaran dan perdagangan biomethane serta perkhidmatan pensijilan alam sekitar.
Sejak ditubuhkan, GMGV membangunkan stesen suntikan biomethane berpusat pertama di Malaysia, yang diiktiraf Malaysia Book of Records. Syarikat itu turut memperluas rangkaian bekalannya dengan bekerjasama bersama pengeluar yang menggunakan hasil sampingan kilang kelapa sawit, sisa organik dan bahan mentah lain untuk menghasilkan biomethane.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Azli Mohamed, berkata hasil sampingan kelapa sawit dan sisa organik Malaysia yang banyak menawarkan potensi besar untuk meningkatkan pengeluaran biomethane serta mengukuhkan rantaian nilai gas boleh baharu negara.
“Dengan infrastruktur sedia ada, kami dapat menghubungkan sumber ini dengan permintaan tenaga industri dan mewujudkan peluang komersial baharu seperti urus niaga jualan spot, yang memberikan fleksibiliti kepada pelanggan untuk mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus mereka,” katanya.
Gas Malaysia berkata syarikat itu akan terus memperluas portfolio gas hijaunya dan meneroka peluang pasaran baharu, sejajar dengan aspirasi peralihan tenaga Malaysia di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, khususnya bagi memajukan pembangunan bioenergi.