Gardenia KL kata isu produk tidak jejas permintaan

GARDENIA Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) berkata kebimbangan pengguna berhubung beberapa produknya yang dibangkitkan baru-baru ini tidak menjejaskan permintaan, malah jualan syarikat terus meningkat. Perkara itu dimaklumkan Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awamnya, Yazli Muhamad Saleh, ketika ditemui pada program Jalinan Media Gardenia KL 2026, kelmarin.
Program itu memberi peluang kepada wakil media melawat fasiliti pengeluaran syarikat. Yazli berkata prestasi jualan kekal positif walaupun isu berkenaan mendapat perhatian pengguna di media sosial.
Beliau berkata keyakinan pengguna yang dibina sepanjang 40 tahun operasi perlu dipelihara melalui mutu produk yang konsisten serta kawalan keselamatan makanan. Katanya, Gardenia memandang serius kebimbangan itu dan menjalankan ujian sampel produk di makmal bebas bertauliah bagi memastikan keselamatan produk keluarannya.
Gardenia KL masih menunggu keputusan analisis sampel yang diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membantu siasatan lanjut. Yazli berkata pemeriksaan KKM di fasiliti pengeluaran Gardenia pada 10 November lalu mendapati pihak berkuasa berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan keselamatan makanan syarikat.
“KKM turut mengambil sampel dan ketika ini sedang menjalankan siasatan. Bagaimanapun, kami masih belum menerima keputusannya dan berharap dapat mengetahuinya dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau turut berkata keputusan ujian makmal yang dijalankan tidak menunjukkan masalah berdasarkan parameter pengujian ditetapkan yang boleh menyebabkan keracunan makanan.