Juruwang 17 tahun ditolak, ditendang kerana didakwa tidak senyum

Sumber: Harian Metro
Juruwang 17 tahun ditolak, ditendang kerana didakwa tidak senyum
Gambar: Harian Metro

MELAKA: Seorang juruwang wanita berusia 17 tahun didakwa ditolak dan ditendang beberapa kali oleh beberapa individu daripada sebuah keluarga di pasar mini di Taman Bertam Perdana, kira-kira jam 9.30 malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas, berkata siasatan awal mendapati perselisihan bermula apabila seorang pelanggan wanita menegur rakan sekerja mangsa yang bertugas di kaunter pembayaran kerana didakwa tidak senyum.

Menurutnya, pelanggan itu kemudian keluar dari kedai sebelum suaminya masuk bersama empat anak mereka tidak lama kemudian. Lelaki berkenaan membaling kotak rokok ke arah mangsa sambil menjerit bertanyakan siapa yang membaling rokok ke arah isterinya.

“Lelaki itu kemudian menolak mangsa dengan kuat hingga ke arah peti sejuk. Seorang wanita dipercayai anak perempuan lelaki itu turut masuk ke kedai, menengking mangsa sebelum menendang kakinya beberapa kali,” katanya ketika dihubungi.

Halim berkata, keadaan ditenteramkan oleh wanita yang mencetuskan perselisihan awal sebelum keluarga itu keluar dari kedai dan beredar dengan sebuah kenderaan berwarna biru gelap.

Mangsa membuat laporan polis pada Isnin untuk tindakan lanjut dan mendapatkan rawatan di hospital. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan, manakala polis sedang mengesan semua individu terbabit.

Terdahulu, video kejadian berdurasi satu minit 20 saat tular di media sosial selepas dikongsi seorang individu yang mendakwa dirinya kakak mangsa. Individu itu turut meminta polis mengambil tindakan terhadap pelaku.