Empat stesen LRT Kelana Jaya masih terjejas akibat gangguan kuasa

Sumber: Astro Awani
Empat stesen LRT Kelana Jaya masih terjejas akibat gangguan kuasa
Gambar: Astro Awani

SUBANG JAYA: Kerja membaik pulih gangguan bekalan kuasa landasan yang menjejaskan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya antara empat stesen masih giat dijalankan pasukan teknikal Rapid KL pada Khamis.

Empat stesen terlibat ialah Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang. Rapid KL memaklumkan perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara percuma akan terus disediakan sepanjang kerja pembaikan.

Sebanyak enam bas perantara beroperasi secara ulang-alik antara empat stesen berkenaan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.

Dalam kenyataan itu, penumpang turut dinasihatkan menggunakan laluan alternatif, termasuk Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Shah Alam, Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya, atau mendapatkan pengangkutan lain untuk ke destinasi masing-masing.

Rapid KL memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama penumpang sepanjang gangguan perkhidmatan berkenaan.

Penumpang disarankan mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid KL atau menggunakan aplikasi perjalanan MyRapid PULSE untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai perkhidmatan Laluan Kelana Jaya. Maklumat status perkhidmatan akan disalurkan dari semasa ke semasa.