Meninjau kapal pemecah ais nuklear Rusia di bawah matahari tengah malam
MURMANSK, Rusia — Murmansk, bandar pelabuhan di barat laut Rusia yang terletak di utara Bulatan Artik, menawarkan suasana berbeza pada musim panas apabila siang berpanjangan. Bernama bersama wartawan dari lapan negara mengunjungi bandar itu dari 2 hingga 4 Ogos atas jemputan Perbadanan Tenaga Atom Negara Rusia (Rosatom) untuk melihat armada kapal pemecah ais berkuasa nuklear dan peranannya dalam pembangunan Laluan Laut Utara (NSR).
Lawatan itu memberi peluang kepada rombongan meninjau operasi kapal yang direka untuk berkhidmat dalam keadaan maritim Artik yang mencabar. NSR ialah laluan perkapalan terpendek antara bahagian barat Eurasia dengan rantau Asia Pasifik, selain menjadi koridor pengangkutan negara Rusia yang dibangunkan sejak sekian lama.
Murmansk merupakan antara bandar terbesar di utara Bulatan Artik dan pintu masuk penting ke rantau Artik Rusia. Bandar itu lima jam mendahului Malaysia dan mempunyai kira-kira 262,000 penduduk pada tahun ini.
Pada malam ketibaan, wartawan berpeluang meneroka beberapa bahagian bandar berkenaan. Walaupun jam menunjukkan 11.30 malam waktu tempatan, langit masih cerah. Suhu sekitar 11 darjah Celsius, namun angin kencang menjadikan keadaan terasa lebih sejuk.
Menjelang tengah malam, matahari masih menyinari langit biru sementara awan putih bergerak perlahan. Keadaan itu membuatkan seorang wartawan dari Kyrgyzstan yang memperkenalkan dirinya sebagai Uluk berkata: “Beberapa hari ini pasti menakjubkan. Bagaimana kita hendak tidur?”
Pada kemuncak musim panas, Murmansk mengalami fenomena matahari tengah malam, atau siang kutub, apabila matahari kekal di atas ufuk selama 24 jam. Fenomena itu berlaku kerana kecondongan paksi Bumi membolehkan kawasan berhampiran kutub menerima cahaya matahari berterusan dalam sebahagian musim panas. Di Murmansk, tempohnya lazimnya dari hujung Mei hingga hujung Julai.
Dalam suasana siang yang berpanjangan itulah perjalanan meninjau industri kapal pemecah ais berkuasa nuklear Rusia bermula. Antara lokasi utama yang dikunjungi ialah tapak Perusahaan Kesatuan Negara Persekutuan Atomflot (FSUE Atomflot) di Murmansk.
Atomflot, perusahaan milik kerajaan Rusia dan anak syarikat Rosatom, mengendalikan serta menyelenggara armada kapal pemecah ais berkuasa nuklear Projek 22220 di tapak berkenaan. Projek 22220, yang turut dikenali sebagai LK-60Ya, ialah nombor projek rasmi Rusia bagi kelas kapal pemecah ais nuklear universal yang dikendalikan Atomflot.
Syarikat itu turut memainkan peranan utama menyokong pelayaran di NSR. Laluan sepanjang kira-kira 5,600 kilometer itu merentasi laut di Lautan Artik, termasuk Laut Kara, Laptev, Siberia Timur dan Chukchi, serta disokong pelabuhan Artik dan sungai utama Siberia.
Sebelum memasuki pangkalan Atomflot, rombongan perlu melalui beberapa pemeriksaan keselamatan. Langkah itu bertujuan memastikan tiada gambar atau rakaman video diambil di kawasan yang ditetapkan.
Ketua Pengarah Atomflot, Yakov Mikhailovich Antanov, menyambut wartawan dan menyampaikan penerangan melalui jurubahasa. Beliau menjelaskan bahawa kapal pemecah ais nuklear menggunakan tenaga daripada reaktor di atas kapal untuk menggerakkan kapal, berbeza daripada kapal konvensional. Keupayaan itu membolehkan kapal beroperasi lebih lama di perairan Artik yang terpencil.
Armada pemecah ais Atomflot ketika ini merangkumi lapan kapal berkuasa nuklear, termasuk empat kapal Projek 22220, iaitu Arktika serta kapal bersiri Sibir, Ural dan Yakutiya.
“Kesemuanya dilengkapi dua unit kuasa nuklear RITM-200 yang membekalkan kuasa tinggi, kebolehpercayaan dan keupayaan beroperasi secara autonomi untuk tempoh panjang,” katanya kepada wartawan.
Antanov berkata kapal Projek 22220 dibina untuk mengiringi konvoi di sepanjang NSR, memastikan pelayaran lebih terjamin dalam keadaan berais serta beroperasi di laluan laut Artik dan muara sungai Siberia.
Kapal dalam kelas itu mempunyai kuasa 60 megawatt pada kipas, bersamaan lebih 81,000 kuasa kuda. Menurut Antanov, kapal Projek 22220 ketika ini merupakan kapal pemecah ais nuklear terbesar dan paling berkuasa di dunia. Kapal berkenaan mampu memecahkan ais setebal sehingga 2.9 meter dan menghasilkan laluan selebar sehingga 36 meter.
Wartawan kemudian dibawa menaiki Arktika, yang mula beroperasi pada 2020. Reka bentuk kapal itu membolehkannya belayar di perairan Artik yang dalam serta kawasan pesisir yang lebih cetek, satu keupayaan yang mencerminkan kemajuan teknologi kapal pemecah ais Rusia.
Arktika sepanjang 173.3 meter dengan draf operasi antara 9.03 hingga 10.5 meter. Kapal itu mampu memecahkan ais setebal sehingga tiga meter.
Rombongan dibawa ke anjungan, tempat kapal dikemudi dan operasinya dikawal. Kapten Arktika, Vasily Gennadyevich Gubkin, berkata kapal itu mempunyai struktur badan berkembar. Bahagian badan luar setebal kira-kira 48 milimeter di kawasan yang direka untuk memecahkan ais, manakala bahagian lain setebal 25 milimeter.
Tangki balast air terletak di antara badan dalam dengan badan luar. Air boleh dipindahkan untuk membantu kapal memecahkan ais, dan Arktika mampu bergerak menembusi ais sama ada ke hadapan atau ke belakang.
Walaupun dilengkapi dua reaktor nuklear, hanya satu biasanya digunakan untuk menjana kuasa, manakala satu lagi berada dalam keadaan siap sedia. Gubkin berkata kapal pemecah ais nuklear turut menyokong ekspedisi saintifik di Artik dan mengiringi kapal kargo serta kapal lain melalui bahagian NSR yang dilitupi ais.
Beliau berkata reaktor kapal perlu diisi semula bahan api kira-kira sekali setiap tujuh tahun. Arktika direka untuk berkhidmat selama 40 tahun dan dikendalikan oleh 54 anak kapal.
Satu lagi kapal yang dikunjungi ialah 50 Let Pobedy, atau “50 Tahun Kemenangan”, yang berlabuh bersebelahan Arktika. Kapal itu mula beroperasi pada 2007 dan direka untuk meredah ais laut Artik yang tebal. Ia juga pernah digunakan dalam ekspedisi ke Kutub Utara.
Lawatan ke kapal itu memberi gambaran tentang skala operasi maritim nuklear Rusia. Seperti Arktika, 50 Let Pobedy dibina untuk menghadapi keadaan Artik yang keras, termasuk ais laut tebal yang menghalang pelayaran dan cuaca ekstrem yang mencabar operasi.
50 Let Pobedy mempunyai tan kasar 23,439, panjang 159.6 meter dan lebar 30 meter, dengan draf kira-kira 11 meter. Antanov berkata kapal itu mampu memecahkan ais setebal sehingga 2.8 meter ketika bergerak pada kelajuan kira-kira dua knot.
Beliau turut berkata kapal itu memainkan peranan dalam memupuk pendidikan saintifik dalam kalangan golongan muda menerusi ekspedisi pendidikan dan saintifik antarabangsa “Icebreaker of Knowledge”. Sepanjang tujuh tahun lalu, kapal berkenaan membawa pelajar dan murid sekolah menyertai ekspedisi ke Kutub Utara.
Selain kapal yang masih beroperasi, Murmansk turut menempatkan Lenin, kapal yang membawa pengunjung kembali kepada sejarah industri pemecah ais nuklear Rusia. Lenin ialah kapal permukaan berkuasa nuklear pertama di dunia dan dijadikan kapal muzium selepas bersara pada 1989, selepas berkhidmat selama beberapa dekad di perairan Artik.
Kapal itu mula beroperasi pada 1959, ketika era Soviet, dan menjadi mercu tanda sejarah maritim kerana menunjukkan potensi penggunaan tenaga nuklear untuk perkapalan awam.
Dalam lawatan berpandu selama sejam, wartawan melihat ruang makan pegawai, kasino, salun kapten dan anjungan. Rombongan turut dibawa ke bahagian dalam kapal untuk melihat jentera serta peralatan yang digunakan bagi memastikan Lenin dapat beroperasi.
Wartawan diberitahu Lenin menyertai 26 pelayaran Artik di sepanjang NSR, membantu 3,741 kapal meredah ais dan mencatat jarak keseluruhan 654,000 batu nautika.
Walaupun terdapat kawasan yang tidak boleh dirakam atas sebab keselamatan, peluang menaiki 50 Let Pobedy dan Arktika serta mengunjungi muzium Lenin memberikan gambaran tentang perkembangan pelayaran maritim berkuasa nuklear Rusia.